Ajal jatuh lombong ketika memancing

Mangsa lemas ditemui anggota Bomba dan Penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. FOTO: JBPM PERAK
Mangsa lemas ditemui anggota Bomba dan Penyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. FOTO: JBPM PERAK
A
A
A

GERIK - Aktiviti memancing seorang lelaki bersama dua rakan bertukar tragedi apabila dia ditemui lemas di sebuah lombong tinggal di Kampung Pong di sini hari ini.

Mangsa, Mohammad Sham Mohd Hassan, 33, pada awalnya terjatuh ke dalam lombong tersebut sebelum hilang ketika memancing di kawasan tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.29 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi pencarian mangsa turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar.

"Pencarian awal dibuat secara permukaan air sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh sebelum meminta bantuan daripada Unit PPDA Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar.

"Unit PPDA kemudiannya melakukan selaman di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh berdasarkan maklumat diterima," katanya menerusi maklumat ringkas kepada media hari ini.

Menurutnya, usaha berterusan pencarian tersebut akhir menemukan mangsa jam 4.40 petang pada jarak 10 meter dari lokasi terkahir mangsa dilihat.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum operasi tamat jam 5.34 petang.

Artikel Berkaitan: