UMNO Parit tak terkesan publisiti murahan DAP

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Mohd Nizar)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Mohd Nizar)
A
A
A

IPOH - UMNO Bahagian Parit tidak terkesan dengan penyertaan bekas pemimpin UMNO cawangan parti berkenaan yang menyertai DAP sebaliknya menganggap ia sebagai publisiti murahan parti di dalam Pakatan Harapan (PH) itu.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai rakan di dalam kerajaan Perpaduan, UMNO terkilan dengan tindakan Pengerusi DAP Parlimen Parit, Tarmizi Mohd Jam yang dilihat seolah-olah cuba merosakkan hubungan baik di antara UMNO dan DAP ketika ini.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang pernah bersama Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah), Tarmizi sepatutnya menarik pemimpin serta ahli parti pembangkang untuk bersama-sama dalam parti kerajaan.

"Sekarang ini parti-parti kerajaan dalam tempoh untuk menyesuaikan diri dan membina keserasian antara satu sama lain, bukan ambil kesempatan. Dalam tempoh ini sepatutnya kita menjaga sensitiviti, jangan cari publisiti. Jadi apa niat sebenar DAP Parlimen Parit ini?

"Saya tegaskan bahawa UMNO Bahagian Parit tidak langsung terjejas kerana ahli akar umbi tahu bagaimana pimpinan bahagian bekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, jika ada penyertaan mana-mana pemimpin UMNO Parit ke dalam DAP sepatutnya dimaklumkan kepada rakan pimpinan UMNO bahagian dan bukan membuat hebahan di media.

Sementara itu, Mohd Nizar menafikan bahawa UMNO Bahagian Parit tidak memberi ruang dan peluang kepada pemimpin akar umbi menyuarakan permasalahan rakyat.

Menurutnya, dua bekas pemimpin cawangan yang menyertai DAP itu memang ada jawatan dalam UMNO dan mereka boleh menggunakan kedudukan itu untuk menyuarakan pelbagai pandangan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua bekas pemimpin UMNO cawangan di Bahagian Parit bersama lapan lagi ahli parti menyertai DAP.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Cawangan UMNO Titi Gantung, Abdul Mukmin Abd Rashid dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pekan Parit, Rosman Esa menyerahkan borang keahlian kepada Tarmizi dalam satu majlis di Seri Iskandar, Parit pada Jumaat lalu.