Kerjasama ASEAN-GCC buka lebih ruang perdagangan, pelaburan dua hala

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

RIYADH - Kerjasama negara anggota ASEAN dan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) akan membuka ruang hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang lebih besar kepada dua blok itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hubungan itu menerusi jaringan eksport dan perkongsian kepakaran yang ada oleh syarikat Malaysia dan GCC khususnya Arab Saudi.

"Syarikat Malaysia yang akan bekerjasama, dengan syarikat tempatan di Saudi juga dapat mengeksport kepakaran kita dan modal untuk membantu pelaburan di Saudi.

"Ini menunjukkan GCC dan ASEAN akan membuat perdagangan dan pelaburan dua hala, bukan sahaja satu hala,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Arab Saudi pada Jumaat.

Tengku Zafrul juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja sempena Persidangan Kemuncak ASEAN-GCC dijadualkan bertemu peserta industri syarikat minyak dan gas terbesar Arab Saudi iaitu Aramco Saudi dan Public Investment Fund (PIF) yang nilainya hampir US$1 trilion (US$1=RM4.77) untuk memperluas nilai pelaburan dua hala.

"Nilai pelaburan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) contohnya telah mencapai lebih kurang AS$6.6 bilion, seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga selaku Menteri Kewangan,” katanya.

Dari segi pelaburan, pada masa ini UAE ialah pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan kedua terbesar dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sejumlah RM6.19 bilion pelaburan daripada 44 projek pembuatan dari UAE telah diluluskan setakat Jun 2023, berpotensi menjana 4,534 peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

ASEAN merupakan blok kelima terbesar di dunia dari segi ekonomi dengan populasi 680 juta orang, selain mempunyai saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3.7 trilion. - Bernam a