Agong kurnia 292 pingat kepada tentera, penerima negara asing

Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera Kehormat kepada Marsekal (Marshal) Fadjar Prasetyo dan Mej Jen Kelvin Khong pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia 2023 sesi kedua di Istana Negara. - Foto FB Bernama
Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera Kehormat kepada Marsekal (Marshal) Fadjar Prasetyo dan Mej Jen Kelvin Khong pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia 2023 sesi kedua di Istana Negara. - Foto FB Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat kepada Kepala Staf TNI Angkatan Udara (Kasau) Indonesia, Marsekal (Marshal) Fadjar Prasetyo.

Pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2023 sesi kedua yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Fadjar selaku penerima kehormat, mendahului senarai 292 penerima pingat.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah PGAT kepada Panglima Tentera Udara Singapura, Mej Jen Kelvin Khong.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Seri Paduka yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ke istiadat pengurniaan darjah itu.

Pada istiadat itu, Seri Paduka mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada sembilan penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 43 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 112 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) melibatkan 126 penerima.

Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam perkhidmatan ATM.

Hadir sama ke istiadat itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima ATM, Jen Tan Sri Ab Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob. - Bernama

Artikel Berkaitan: