KPDN rampas berus gigi tiruan

Pegawai KPDN memeriksa berus gigi tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Nuri, Nibong Tebal pada Rabu.
Pegawai KPDN memeriksa berus gigi tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Nuri, Nibong Tebal pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 744 unit berus gigi berjenama disyaki tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Nuri, Nibong Tebal pada Rabu.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, serbuan dilakukan jam 10 pagi itu hasil maklumat pemilik cap dagangan berdaftar barangan terbabit serta risikan awal yang dilakukan beberapa hari sebelum tindakan dilakukan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 744 unit berus gigi berjenama disyaki tiruan.

"Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM855.60," katanya menerusi kenyataan, di sini pada Rabu.

Jegan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu melibatkan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) ini, bagi individu denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi pertubuhan atau syarikat denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barang, jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, Jegan memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya alat keperluan rumah seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli alat keperluan rumah sama ada di premis fizikal atau secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri.

Artikel Berkaitan: