[VIDEO] Dulu mak nyah, kini pembuat keranda

A
A
A

ALOR SETAR - Selepas kira-kira 15 tahun menjadi 'gadis lorong', seorang mak nyah nekad berubah dan kembali ke pangkal jalan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Muhamad Asrul Abdu Kadir, 38, berkata, ia bermula selepas beliau menginsafi detik-detik kematian yang berlaku ke atas rakannya yang menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menari di atas pentas.

Menurutnya, kejadian tersebut memberi kesan mendalam sehingga menimbulkan keinsafan dan ketakutan pada dirinya apatah lagi membayangkan nyawanya sendiri ditarik ketika sedang melakukan pekerjaan lama dengan berpakaian wanita.

"Ditambah pula ibu meninggal dunia dan saya sedar bahawa giliran saya pun tidak lama," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Rentetan dari itu, Muhamad Asrul yang turut dikenali sebagai Jun memberitahu bahawa keinsafan tersebut telah membawanya berkecimpung dalam bidang pembuatan keranda.

Muhamad Asrul mengakui, pekerjaan baharu sebagai pembuat keranda, batu nisan dan kepuk adalah demi mengumpul pahala bagi menebus kesilapan silamnya.

Muhamad Asrul membuat keranda sejak enam tahun lepas di kediamannya di Alor Mengkudu, Alor Setar.
Muhamad Asrul membuat keranda sejak enam tahun lepas di kediamannya di Alor Mengkudu, Alor Setar.

Ketika berkongsi bagaimana beliau terjebak dengan pekerjaan lamanya sebelum ini, Muhamad Asrul berkata, ia bermula disebabkan desakan hidup di Kuala Lumpur dan pengaruh rakan.

Artikel Berkaitan:

Pada mulanya, beliau memberitahu telah berpindah ke ibu kota dengan niat untuk mencari pekerjaan lebih baik, namun usahanya tidak membuahkan hasil.

"Setelah lama berada di sana, kerja yang dimohon masih tidak dapat hingga duit belanja hari-hari habis, kena keluar rumah dan tidur di bawah jambatan.

"Malah, saya terpaksa meminta sedekah dan mengemis selama hampir setengah tahun sebelum berjumpa dengan kawan dan diperkenalkan pekerjaan itu," katanya yang merupakan anak sulung daripada enam beradik.

Sementara itu, mendedahkan pekerjaan sebagai pembuat keranda, beliau memberitahu sudah lama meminati kerja tersebut sejak kecil, namun mula serius sejak enam tahun lepas di kediamannya.

Tidak dinafikan, katanya, ada rakan yang terkejut dan menggelar dirinya sebagai tidak waras apabila memilih kerjaya tersebut dan menjadi satu-satunya bekas mak nyah dalam bidang itu.

"Saya satu-satunya (bekas mak nyah) yang boleh buat kerja ini dan agak susah untuk orang lain (bekas mak nyah) buat kerja ini," katanya.

Muhamad Asrul
Muhamad Asrul

Menurutnya, pada permulaan, beliau tidak tahu membuat batu nisan, keranda dan kepuk, namun kini sudah cekap untuk menghasilkan tempahan pelanggan.

"Saya belajar sendiri dan mencuba banyak kali sehingga akhirnya hasil diinginkan menjadi, sekali gus ia menjadi rezeki utama ketika ini.

"Selain membuat kepuk, batu nisan dan keranda, saya juga boleh menguruskan jenazah termasuk mandi mayat dan membuat kain kafan. Kadang-kadang ada rakan meninggal dunia, saya tidak ambil duit," katanya.

Muhamad Asrul berkata, beliau juga bersyukur apabila masyarakat menerima dan memahami dirinya meskipun beliau pernah memiliki kisah silam sebagai 'gadis lorong' sebelum ini.

Beliau juga kini kerap berkongsi video-video berkaitan kerjanya sebagai pembuat keranda, batu nisan dan kepuk di aplikasi TikTok.