Zii Jia hampiri kelompok 10 terbaik dunia

Zii Jia melonjak tiga mata tangga dari 14 ke 11 dunia. - Foto Agensi
Zii Jia melonjak tiga mata tangga dari 14 ke 11 dunia. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia kembali menghampiri kelompok 10 terbaik apabila ketika ini berada di tempat ke-11 dunia.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kemas kini pada Selasa menunjukkan Zii Jia mendaki tiga anak tangga berbanding kedudukan minggu lalu di tempat ke-14.

Kedudukan terbaharu itu ekoran kejayaannya menjuarai Terbuka Artik di Vantaa, Finland Ahad lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu yang bergelut dengan prestasi sebelum ini menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 bulan setelah mengalahkan rakan senegara, Ng Tze Yong pada perlawanan akhir.

Kali terakhir Zii Jia bergelar juara adalah ketika mengungguli Terbuka Thailand pada Mei 2022.

Meskipun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara namun kedudukan ranking Tze Yong melonjak dua mata tangga apabila kini berada di kedudukan ke-17.

Ia adalah kedudukan terbaik dalam karier pemain berusia 23 tahun itu selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak awal tahun ini.

Zii Jia dan Tze Yong masing-masing berpeluang untuk terus memperbaiki kedudukan ranking dunia mereka apabila beraksi di Terbuka Denmark yang sedang berlangsung ketika ini.

Artikel Berkaitan: