Kastam patahkan sindiket rokok seludup RM8.8 juta

Sazali (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian rokok tidak bercukai yang dirampas dalam empat serbuan selepas sidang akhbar di Bangunan Kastam Melaka di Ayer Keroh pada Selasa.
Sazali (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian rokok tidak bercukai yang dirampas dalam empat serbuan selepas sidang akhbar di Bangunan Kastam Melaka di Ayer Keroh pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai hampir RM8.8 juta dalam empat serbuan berasingan bermula Jun hingga 30 September lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sazali Mohamad berkata, dalam tempoh itu, 11,754,000 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM8,792,193 telah dirampas dipercayai dibawa masuk dari negara Vietnam menerusi perairan Pantai Timur.

Menurutnya, serbuan pertama pada 27 Jun lalu di Setia Alam, Selangor mendapati kumpulan penyeludupan ini menggunakan kenderaan mewah pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard bagi membawa 160,000 batang rokok bernilai RM119,880 termasuk cukai.

Katanya, dalam serbuan seterusnya JKDM berjaya merampas rokok putih tidak bercukai kastam di tiga lokasi berasingan iaitu di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Lebuhraya Segamat-Kuantan; stesen minyak di Keratong, Pahang dan RnR Jejantas Ayer Keroh.

"Sepanjang serbuan dilakukan hingga 30 September lalu, dua lelaki berusia 40-an yang merupakan pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

Sazali (dua dari kanan) menunjukkan kotak berbalut plastik hitam yang mengandungi rokok putih tidak bercukai.
Sazali (dua dari kanan) menunjukkan kotak berbalut plastik hitam yang mengandungi rokok putih tidak bercukai.

"Kita turut merampas tiga buah lori yang membawa muatan 11,594,000 batang rokok putih kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dagangan yang dibawa mereka selain mempamerkan nombor pendaftaran palsu," katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Kastam Melaka di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Jelasnya, pihak terbabit juga menggunakan modus operandi membalut kotak-kotak berisi rokok dengan plastik hitam dan didakwa melakukan pergerakan di awal pagi bagi mengaburi mata pegawai kastam.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dipercayai barangan tidak bercukai kastam itu mendapat permintaan tinggi di pasaran gelap kerana dijual jauh lebih rendah sekitar RM6 sekotak berbanding harga rokok biasa.

Selain itu, Sazali berkata, pihaknya turut merampas 33,420 liter minuman keras bernilai RM1.48 juta menerusi dua serbuan berasingan di sebuah gudang di Kuala Lumpur dan kontena di Pelabuhan Klang.

"Kita juga telah merampas beras seludup daripada Bangladesh seberat 11,940 kilogram bernilai RM33,432 yang didaftarkan sebagai bahan-bahan rempah ratus pada 3 April lalu dan kesemua kes disiasat mengikut 135(1)(a)/(d)/(e) Akta Kastam 1967.

"Orang ramai dinasihatkan tidak melibatkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara," katanya.