Pulau Pinang harap kaedah subsidi disusun secara efektif

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang berharap Kerajaan Perpaduan menyusun kaedah subsidi yang paling efektif dalam masa terdekat supaya pembatalan harga kawalan ayam dan telur tidak membebankan golongan B40.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, ini kerana ayam dan telur merupakan sumber protein paling murah untuk golongan berkenaan.

"Dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengekalkan subsidi ayam dan telur tetapi kawalan harga untuk kedua-duanya akan dibatalkan.

"Langkah ini penting untuk tidak merugikan penternak, seterusnya membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas agar keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran terjamin.

"Bagaimanapun, saya berharap agar kerajaan dapat menyusun kaedah subsidi yang paling efektif dalam pembatalan harga kawalan ayam dan telur dalam masa terdekat. Selain itu, hal ini juga bagi memastikan subsidi kerajaan tepat disampaikan kepada golongan yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kata Fahmi, langkah-langkah penambahbaikan dan insentif yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 tersebut adalah penting dalam memastikan bekalan makanan mencukupi untuk jangka masa panjang selain kualiti makanan terjamin bagi rakyat Malaysia.

"Kerajaan Pulau Pinang berterima kasih di atas pengumuman inisiatif berkaitan sektor agro dan keterjaminan makanan dalam Belanjawan Malaysia Madani 2024. Belanjawan Malaysia Madani menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan sektor agro di negara kita.

"Selain memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat, kerajaan juga menunjukkan komitmen dalam memperkasakan agenda kebajikan golongan pesawah dan nelayan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, peruntukan bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan telah meningkat RM600 juta kepada RM2.6 bilion.

"Sehubungan itu, pengumuman harga lantai belian padi yang naik daripada RM1,200 kepada RM1,300 per metrik tan pasti dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah.

"Bagi golongan nelayan, selain mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah dan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan, kerajaan juga mengutamakan kebajikan nelayan dengan menyediakan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan," katanya lagi.

Fahmi berkata, Kerajaan Pulau Pinang yakin dengan keterlibatan bersama dalam usaha kemajuan sektor agro akan membawa manfaat kepada seluruh negara.

"Saya berharap kerjasama yang kukuh antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dapat menggalakkan perkembangan teknologi pertanian, sekali gus meningkatkan produktiviti serta hasil pengeluaran petani.

"Pembangunan sektor agromakanan yang mampan dan terjamin amat bergantung kepada kemajuan agenda pemodenan pertanian.

"Saya menyambut baik pengumuman RM400 juta untuk melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan, yang mana RM150 juta untuk kerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimum penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman," katanya.

Fahmi turut berharap untuk mendapatkan manfaat daripada program itu bagi mentransformasikan aktiviti pertanian dalam negeri ke arah pertanian pintar.

"Sektor agro amat memerlukan adaptasi teknologi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memudahkan kerja petani selain mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import. Usaha ini juga dapat menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian.

"Terima kasih kepada Kerajaan Malaysia Madani atas penyusunan bajet progresif yang memfokuskan sektor agro dan keterjaminan makanan.

"Semoga langkah-langkah ini akan membawa kepada pembangunan mampan dan memperkukuhkan keterjaminan makanan di Malaysia serta memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang," katanya.