NSL 2023 ke arah yang lebih cemerlang

(Gambar kiri: Aruna Santhappan.) NSL merupakan satu lagi platform di mana atlet-atlet bola jaring dapat mempamerkan bakat dan kemampuan mereka di arena yang setanding dengan liga-liga bola jaring yang diadakan di seluruh dunia.
(Gambar kiri: Aruna Santhappan.) NSL merupakan satu lagi platform di mana atlet-atlet bola jaring dapat mempamerkan bakat dan kemampuan mereka di arena yang setanding dengan liga-liga bola jaring yang diadakan di seluruh dunia.
A
A
A

Salam Sejahtera,

Sukan Bola jaring bukanlah sukan yang asing di tanah air Malaysia. Kebanyakan pelajar perempuan pernah bermain sukan ini di bangku sekolah mereka. Saya juga merupakan produk atlet dari sekolah dan apabila diberi peluang bermain di arena antarabangsa ianya seperti satu impian.

Bola jaring telah memberi satu kerjaya untuk saya malah saya percaya ramai atlet-atlet bola jaring telah mendapat laluan kerjaya, pendidikan dan sebagainya dengan penglibatan mereka di sukan ini.

NSL merupakan satu lagi platform di mana atlet-atlet bola jaring dapat mempamerkan bakat dan kemampuan mereka di arena yang setanding dengan liga-liga bola jaring yang diadakan di seluruh dunia.

Saya masih lagi ingat kenangan menyertai liga netball di negara jiran kita Singapura, dengan sambutan penonton, corak permainan yang dinamik dan bermain secara mingguan memberi satu kepuasan untuk saya sebagai atlet.

Saya dapat mengasah kemahiran dan sentiasa bersedia untuk memberi persembahan yang terbaik pada setiap minggu perlawanan.

Ini adalah satu impian untuk melihat liga seperti ini diadakan di Malaysia, saya turut berbangga dan boleh dikatakan ada sedikit cemburu. Sebagai seorang atlet, kita pasti ingin bermain dan mempamerkan bakat kita di hadapan penonton sendiri.

Bak kata pepatah Bahasa Inggeris “It’s never too late for a new beginning”. NSL telah menjadi bualan peminat-peminat bola jaring ini di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Malah ramai yang menunggu untuk liga ini bermula pada setiap edisi. Saya boleh katakan setiap edisi NSL menarik peminatnya yang tersendiri.

Penglibatan saya selama 2 edisi di NSL ini, memberi satu pengalaman yang luas terutama dari segi pengulas sukan. Kalau dulu melihat dari sudut atlet tetapi kini melihatnya dari segi sudut pengulas sukan, jauh berbeza.

Ianya kelihatan mudah dari kokpit pengulas untuk mengulas aksi-aksi atlet setiap pasukan tetapi sama faham sama sekali perasan dan emosi yang dilalui oleh atlet ketika mereka beraksi di gelanggang tersebut.

Ianya bukan mudah untuk beraksi secara konsisten di hadapan penonton di stadium tetapi turut yang menonton dari kaca televisyen. Setiap individu ada pandangan masing-masing, ada peminat, ada pengkritik ada yang menyokong, ada yang mengkritik.

Tetapi inilah cabaran yang dilalui dan kewibawaan yang ditunjukkan atlet kita, mereka sangat berkomitmen, mempamerkan kemahiran yang bertaraf tinggi dan ini secara langsung membuka laluan untuk atlet-atlet bola jaring kita untuk terus meningkatkan mutu permainan di peringkat kebangsaan dan di arena antarabangsa.

Malaysia masih lagi sebuah negara yang digeruni dan sentiasa memberikan satu keputusan yang memberangsangkan di peringkat Asia dan Asia Tenggara bagi sukan bola jaring.

Sebagai seorang Pegawai Psikologi sukan, saya menggalakkan pengalaman-pengalaman yang berbeza yang di lalui oleh setiap atlet bola jaring di arena NSL ini. Tiada jalan yang mudah atau singkat untuk menjadi juara. Setiap pendedahan yang dilalui oleh atlet akan mematangkan mereka untuk berjaya sebagai seorang atlet dan individu.

Secara langsung, NSL dan kesemua atlet yang beraksi ini boleh memberikan impak positif untuk lebih ramai bakat-bakat muda terutamanya kanak-kanak perempuan berminat untuk berkecimpung dalam arena sukan bola jaring ini.

Sukan bukan sahaja untuk menyihat badan tetapi ianya menjadi satu platform untuk meningkatkan keyakinan diri, kesejahteraan diri dan terutamanya dapat membantu untuk setiap individu menjalani kehidupan yang seimbang.

Menjalani kehidupan yang sihat dan sejahtera adalah tanggungjawab bersama. Jika sukan dapat membuka ruang tersebut, turut sertainya dalam komuniti tersebut dan mulakan gaya hidup yang sihat.

Maka, NSL edisi ketiga ini akan membuka tirai pada hujung minggu ini, dengan kemasukkan 2 lagi pasukan baru Putrajaya Dynamites dan Terengganu Marvel pasti akan menjadikan Edisi kali ini lebih menyeronokkan dan mencabar bagi 6 lagi pasukan senior kita (Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom dan Pahang Tulips) di arena NSL ini.

Adakah Johor Jewels akan mempertahankan taktha mereka sebagai juara bertahan? Atau pasukan-pasukan baru ini akan memberikan kejutan. Saya sebagai pengulas turut merasakan hangatnya, pasti pemain dan penonton merasakan hangat dan debaran yang sama.

Penghujung kata, sebagai seorang bekas atlet, pengulas sukan dan peminat sukan bola jaring ingin saya meraihkan keunggulan sukan bola jaring tanah air kita di Arena NSL edisi 2023. Sama-sama kita saksikan NSL edisi 2023, pasti banyak kejutan yang menanti kita semua.

* Aruna Santhappan

Tetamu Pakar dan Bekas Pemain Bola Jaring Kebangsaan @ Pegawai Psikoloji Sukan