Bekas pesakit Covid-19 antara dikesan hidap anxiety

Antara reruai sempena Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Kesihatan Mental dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia di HSAH pada Khamis.
Antara reruai sempena Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Kesihatan Mental dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia di HSAH pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Bekas pesakit Covid-19 antara golongan dikenal pasti mengalami anxiety sehingga mempengaruhi kehidupan seharian biarpun selepas disahkan sembuh daripada jangkitan berkenaan.

Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Dr Shamsunnisah Abu Bakar berkata, itu antara kesan pasca pandemik yang ditangani HSAH.

Menurutnya, antara satu kes dikenal pasti membabitkan seorang wanita iaitu penjaja yang sebelumnya sering berada dalam komuniti bagaimanapun mengasingkan diri selepas sembuh disebabkan kebimbangan sekiranya jangkitan Covid-19 berulang.

"Kebimbangan serius seperti takut mati jika dijangkiti sekali lagi jadi faktor enggan membenarkan suami dan dirinya keluar rumah sehingga menjejaskan urusan seharian.

Shamsunnisah
Shamsunnisah

"Namun, kita bersyukur kerana wanita itu menyedari bahawa episod tersebut meninggalkan kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnya sehingga membuat keputusan membawa beliau ke sini (HSAH) bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Perasmian Program Sambutan Hari Kesihatan Mental dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia peringkat hospital pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama merasmikan majlis, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Farique Rizal Abdul Hamid.

Jelas Shamsunnisah, penjaja wanita itu antara dikenal pasti individu yang mengalami kesihatan mental, namun tidak mendapatkan bantuan segera semasa wabak menular.

“Walaupun agak tertangguh, tetapi keputusan mendapatkan rawatan yang betul selepas pandemik reda membolehkan dia kini sembuh sepenuhnya," katanya.

Beliau menjelaskan, antara impak positif pasca pandemik ialah orang ramai lebih terbuka menerima penilaian dan rawatan psikitri di hospital.

Selain itu, Shamsunnisah menambah, semua golongan berhak mendapat akses perkhidmatan kesihatan mental tanpa dipinggirkan.

"Tanggungjawab menangani permasalahan mental dalam kalangan masyarakat mestilah digalas bersama oleh semua pihak berkepentingan," katanya.

Jelasnya, peranan keluarga dan orang sekeliling sangat penting ke arah menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

"Dengari dan dekati mereka daripada menghukum, perkataan 'sabarlah' tidak membantu pesakit...paling penting tunjukkan empati dan lakukan sesuatu untuk bantu mereka.

"Keluarga tak perlu paksa pesakit cerita (masalah dihadapi) sebaliknya beri penerangan supaya mereka tahu kita sentiasa sayang dan ada bersama jika perlukan bantuan," jelasnya.

Sementara itu, Farique Rizal dalam ucapan perasmian menjelaskan, Hari Kesihatan Mental disambut di seluruh dunia pada tanggal 10 Oktober 2023.

"Tema sambutan yang dipilih pada tahun ini ialah 'Kesihatan Mental Hak Asasi Bersama' bertujuan agar semua orang menerima penjagaan kesihatan mental yang berkualiti, dan hak asasi serta kebajikan orang yang mengalami masalah mental sentiasa dijaga dan dihormati.

"Hak asasi dan kebajikan ini termasuklah terpelihara dari perkara yang menjejaskan kesihatan minda, terutamanya golongan kanak-kanak, moniriti dan terpencil," katanya.

Jelasnya, hak asasi juga merangkumi akses kesihatan berkualiti, mampu milik di samping hak dan kebebasan untuk memilih atau membuat keputusan untuk diri sendiri.