Ahmad Said dicadang calon BN PRK Kemaman

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

KEMAMAN - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said antara calon yang dicadangkan untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Ketua Urusetia Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin berkata, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman merupakan antara nama yang mendapat sokongan untuk disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya tersebut.

"Ahmad merupakan pemimpin paling layak dipilih sebagai calon kerana kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

"Selain itu, beliau juga antara pemimpin parti yang memohon mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) Parlimen Kemaman sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Menurut Mohamed Rahim, terdapat sekurang-kurangnya tujuh nama yang dipilih oleh UMNO bahagian itu untuk disenaraikan sebagai calon termasuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Zulkefli Abu Bakar.

Beliau memberitahu, kesemua nama tersebut akan diserahkan kepada UMNO negeri untuk disenarai pendek sebelum melalui proses pemilihan di peringkat UMNO Pusat.

"Difahamkan Pengerusi Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini menolak cadangan untuk disenaraikan sebagai calon kerana ingin memberi tumpuan kepada tugas yang digalasnya.

"Selain itu, ada juga maklumat memberitahu seorang ahli akademik yang merupakan anak tempatan bakal diketengahkan sebagai calon dalam PRK Kemaman," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 26 September lalu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15 selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika tempoh berkempen.

Pada 3 Oktober lalu, Pas menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya Parlimen berkenaan.

Pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman sebelum ini menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Ahmad (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Sementara itu, dua calon lain iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi kenyataan pada Rabu memberitahu akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK Kemaman pada 17 Oktober ini.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah menerima Laporan Hakim Pilihan Raya susulan keputusan petisyen yang membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen P040 Kemaman yang berlangsung pada 19 Novrlember tahun lalu.

Beliau berkata, sehingga tamat tempoh 14 hari rayuan, tiada notis rayuan difailkan terhadap keputusan itu.