Ranjau getir menanti Arteta

Arteta antara individu yang disebut-sebut bakal mengendalikan Arsenal selepas pemecatan Emery.
Arteta antara individu yang disebut-sebut bakal mengendalikan Arsenal selepas pemecatan Emery.
A
A
A

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola mengakui penolongnya, Mikel Arteta bakal berdepan kesukaran bagi memperbaiki kemerosotan yang dialami Arsenal ketika ini jika bersetuju menjadi pengendali The Gunners.

Pada masa sama, Guardiola turut melahirkan sedikit keraguan adakah ada jurulatih lain mampu membantu meningkatkan kembali prestasi The Gunners yang kini menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Pada pandangan saya, Arsenal sentiasa menjadi salah sebuah pasukan terbaik dalam tempoh 20 tahun lalu. Arsenal di bawah kendalian Arsene Wenger cukup mantap apabila beliau meletakkan pasukan itu berada pada tahap terbaik.

"Bagaimanapun, mereka kini sedikit bergelut. Mikel seorang yang profesional dan saya tiada keraguan tentang perkara itu. Komunikasi kami selama ini amat baik, dia jujur dengan saya.

"Begitupun, saya tidak rasa Mikel mampu membuat perubahan drastik jika beliau mengendalikan kelab itu. Beliau memerlukan masa untuk kembali membawa Arsenal pada satu tahap yang pernah mereka kecapi sebelum ini," katanya.

Arsenal kini dibimbing bekas pemainnya, Freddie Ljunberg apabila pihak pengurusan The Gunners memecat Unai Emery selepas kekalahan 1-2 kepada Eintrancht Frankfurt pada saingan Liga Europa.

Dalam kempen EPL, Arsenal kini sekadar mampu mengumpul 22 mata daripada 17 perlawanan hasil daripada lima kemenangan, tujuh seri dan lima kekalahan.

Begitupun, Guardiola menyerahkan segala keputusan kepada Arteta sama ada mahu terus kekal bersama City atau mengambil peluang terhidang untuk menjadi jurulatih buat kali pertama dalam kariernya.

Artikel Berkaitan:

"Perkara sama juga saya katakan kepada para pemain jika mereka mempunyai keinginan lain, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan Manchester City.

"Kelab telah memberikan yang terbaik kepadanya (Arteta) tetapi jika dia membuat keputusan mahu ke pasukan lain, saya akan menghormatinya dan berharap semuanya baik untuk dirinya sendiri, keluarga serta masa depannya," ujar Guardiola.