'Makan malam terakhir sebelum rentung'

Mangsa, Mohamad Daud, 68, yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat mental maut dalam keadaan terbaring di atas katil. (Gambar kecil: Mohamad Daud)
Mangsa, Mohamad Daud, 68, yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat mental maut dalam keadaan terbaring di atas katil. (Gambar kecil: Mohamad Daud)
A
A
A

JERANTUT - Seorang warga emas sempat menjamah makan malam terakhir sebelum ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Perak, dekat Sungai Tekam di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu menyebabkan mangsa, Mohamad Daud, 68, yang juga orang kurang upaya (OKU) mental maut dalam keadaan terbaring di atas katil.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan awal pihak forensik bomba mendapati punca kebakaran kemungkinan besar daripada api pelita yang telah dijumpai berdekatan dengan tempat mayat berada.

"Sebelum kejadian, mangsa sempat makan selepas dua penduduk kampung yang juga adik-beradik menghantar makanan kira-kira jam 7 petang kerana warga emas itu mengadu lapar dan hasil temu bual terhadap dua beradik itu, mereka melihat mangsa sedang merokok di bahagian pintu hadapan rumah sebelum meninggalkan rumah terbabit.

"Kira-kira jam 9.30 malam, seorang remaja berusia 20 tahun yang juga saksi kejadian telah terlihat kebakaran di rumah mangsa ketika pulang dari kedai makan lalu meminta pertolongan penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa tinggal seorang diri di rumah terbabit dan telah bercerai dengan isterinya kira-kira 30 tahun lalu serta mempunyai dua anak iaitu seorang lelaki dan perempuan.

Mangsa terperangkap dalam kebakaran di rumahnya.
Mangsa terperangkap dalam kebakaran di rumahnya.

"Setakat ini tiada unsur-unsur jenayah berlaku. Mayat telah dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang diteruskan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, seramai dua pegawai dan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut dan Jengka bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah jentera Bantuan Perkhidmatan kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah diperbuat daripada batu dengan syiling kayu berkeluasan 20x20 kaki persegi telah terbakar.

"Kebakaran telah menyebabkan 50 peratus rumah terbabit musnah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan BBP Jengka dengan menggunakan dua aliran salur bantu dan operasi pemadaman terkawal pada jam 10.15 malam.