Calon PRK Cameron Highlands diminta buat semakan awal

Azhar Azizan Harun
A
A

PUTRAJAYA - Suruhannya Pilihan Raya (SPR) menggesa semua bakal calon yang mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands supaya mengisi dan membuat semakan awal borang pencalonan mereka.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun melalui satu kenyataan memaklumkan, semakan awal borang pencalonan boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon.

Menurut SPR, ianya bertujuan memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan sebelum hari penamaan calon.

"Ini dapat menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Ianya juga dapat memberi peluang kepada parti-parti politik lain (yang calonnya didapati tidak layak) membuat persiapan sewajarnya pada hari pencalonan,"ujarnya.

Bagaimanapun SPR menegaskan, semakan awal tersebut bukan merupakan keputusan muktamad bagi penerimaan atau penolakan sesuatu pencalonan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak pejabat Pegawai Pengurus atau pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang itu dikemukakan bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"Kertas penamaan calon yang lengkap diisi perlu dikemukakan semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR pada Sabtu, 12 Januari 2019," katanya.

Selain itu, bakal-bakal calon juga turut digesa untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

"Bakal-bakal calon juga diminta untuk mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan untuk memudahkan memasuki Dewan Penamaan Calon.

Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon kelak," katanya.