X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi SAR dua nelayan hilang diaktifkan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilaporkan hilang di laut digerakkan.
A
A

KUANTAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilaporkan hilang di laut digerakkan selepas bot dinaiki kedua-duanya dihanyutkan akibat masalah enjin di lokasi kira-kira 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang di sini.

Operasi disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) itu diaktifkan kira-kira jam 9.30 malam tadi selepas menerima maklumat berhubung kejadian menimpa nelayan terbabit, Mat Yasin Sulong, 67, dan Shaharul Nizam Mat Yasin, 44.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, pihaknya melalui Pusat Sub Penyelamatan Maritim (MRSC) Pahang menerima maklumat daripada PPM Kuantan kira-kira jam 4 petang semalam, memaklumkan bot gentian kaca dinaiki mangsa mengalami kerosakan enjin ketika di laut.

“Operasi turut melibatkan aset dari Bahagian Operasi Udara (BOU) Maritim Malaysia, kapal dan bot TLDM serta PPM Kuantan yang turut dibantu bot-bot nelayan tempatan.

“Sehingga kini Operasi Carilamat (mencari dan menyelamat) sedang diteruskan walaupun keadaan laut kurang baik sehingga dua nelayan itu berjaya ditemui,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Amran berkata, operasi SAR turut berusaha mengesan kedudukan mangsa selepas kedua-dua mereka gagal dihubungi dipercayai telefon bimbit kehabisan bateri.

Mengulas kejadian terbabit, dua nelayan itu dilaporkan keluar ke laut kira-kira jam 7.30 pagi semalam untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 4 petang, isteri salah seorang mangsa menerima panggilan daripada suaminya memaklumkan bot yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin dan memerlukan bantuan.

“Berdasarkan panggilan itu, isteri mangsa membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan dan susulan laporan itu, aset APMM yang sedang beroperasi diarahkan ke lokasi untuk memberi bantuan, namun keadaan laut yang bergelora menyebabkan bot terpaksa berlindung,” katanya.

Sementara itu katanya, komuniti maritim dinasihatkan mengutamakan keselamatan melalui pemakaian jaket keselamatan dan peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.

“Kami sentiasa bersedia untuk memberi bantuan tidak mengira waktu sama ada siang atau malam sekiranya ada berlaku kes-kes kecemasan.

"Orang ramai boleh menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus