Dua kereta nyaris rentung dalam kebakaran

Salah satu kenderaan mangsa terjejas dalam kejadian kebakaran di di Kampung Baru Jalan Cheroh
Salah satu kenderaan mangsa terjejas dalam kejadian kebakaran di di Kampung Baru Jalan Cheroh
A
A
A

RAUB - Sebuah keluarga di sini berdepan detik cemas apabila ruang tempat letak kenderaan di hadapan rumah di Kampung Baru Jalan Cheroh di sini terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) milik keluarga terbabit.

Bagaimanapun, tindakan pantas orang awam berjaya memadamkan kebakaran sebelum pihak bomba tiba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Penolong Penguasa Bomba Khairul Anuar Yaacob berkata, seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam.

"Bagaimanapun, kebakaran tersebut sudah dipadamkan menggunakan pemadam api ketika kami tiba di rumah tersebut.

"Kejadian melibatkan kemusnahan 10 peratus pada Toyota Unser terbabit selain dua peratus membabitkan Honda CRV," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, difahamkan orang awam mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan api tersebut.

"Bomba membuat pemeriksaan selanjutnya untuk mengelakkan insiden sama kembali berlaku sebelum menamatkan operasi.

Artikel Berkaitan:

"Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan forensik bomba," katanya.