X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas maut bukan langgar lari

Keadaan motosikal yang ditunggangi warga emas terbabit. (Keadaan kereta Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan itu.) - Foto Ihsan polis
A
A

BERA - Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Kilometer 19 Jalan Temerloh - Bahau di sini kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

Mangsa, Mustafa Awang Othman, 79, dari Kampung Kuala Triang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh jam 12.19 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, ketika kejadian mangsa menunggang sebuah motosikal jenis Honda C701 dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Triang menuju ke Temerloh.

"Ketika kejadian, mangsa cuba membelok ke simpang kanan sebelum dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hoshas untuk menerima rawatan namun beberapa jam kemudian, warga emas terbabit disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit juga ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera pada jam 3 petang semalam bagi membantu siasatan.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan didapati negatif dan siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, Mansor turut menafikan kejadian tersebut adalah kes langgar lari seperti yang tular di Facebook semalam.

"Pemandu terbabit pergi ke balai polis membuat laporan dan mangsa dibantu orang lain ketika kejadian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus