Hasil siasatan insiden provokasi akan dimaklum kepada umum

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memaklumkan kepada umum hasil perkembangan siasatan insiden provokasi menghina Jalur Gemilang dan lagu Negaraku serta aktiviti memperingati komunis dalam masa terdekat.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja cuba menimbulkan kegusaran awam.

Menurutnya, KDN tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang tindak-tanduk yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian negara.

"Merujuk kepada beberapa insiden ditularkan sejak kebelakangan ini, saya menggesa semua pihak agar berhenti daripada membuat kenyataan atau lakukan perbuatan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

"Saya memandang serius perkembangan tidak sihat ini yang dianggap sebagai suatu provokasi untuk keruhkan keadaan dalam negara. Tindakan menghina lambang negara terutama Jalur Gemilang dan lagu Negaraku amat tidak bertanggungjawab serta tidak melambangkan semangat patriotisme.

"Penganjuran sebarang aktiviti untuk memperingati atau menghidupkan semula pergerakan komunis di negara ini juga tidak sepatutnya berlaku dan wajar dihentikan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, kebelakangan ini negara dikejutkan dengan beberapa insiden seperti Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima ketika lagu Negaraku disiarkan menerusi tayangan klip video pada skrin gergasi dalam satu majlis perasmian kejohanan bola keranjang akhir November lalu.

Belum reda isu berkenaan, satu portal melaporkan hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang, Selangor pada awal bulan ini dan terbaharu tular di media sosial video murid di sebuah sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin.

Artikel Berkaitan: