Lawan dengan 'musuh' bukan dengan kawan, kata Anwar

Anwar Ibrahim .
- Foto- BERNAMA
Anwar Ibrahim .
- Foto- BERNAMA
A
A
A

AYER KEROH - Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta supaya tidak bertelagah sesama sendiri sehingga menyebabkan keretakan dalam parti yang dilahirkan daripada kesusahan rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan anggota parti agar slogan 'lawan tetap lawan' yang dilaungkan parti selama ini tidak disalah erti.

Beliau berkata, parti perlu berlawan dengan musuh dan bukannya berlawan dengan kawan.

"Saya ingin mengingatkan yang parti ini diangkat dari air mata, jalanan dan kesusahan rakyat.

"Dulu kita dapat bersatu, kukuh dan berdisiplin dalam keadaan kita miskin, tetapi mula menimbulkan karenah apabila kita mula berkuasa," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Konvensyen Nasional Keadilan ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anwar berkata, semua anggota perlu memahami sejarah reformasi yang didukung sejak penubuhannya 20 tahun lalu termasuk merenung kembali Perisytiharan Reformasi dalam memahami perjuangan sebenar parti.

Menurutnya, persefahaman dalam kalangan anggota sangat perlu agar kita tidak akan ditipu oleh yang memutar belitkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu faham di antara kita dan jangan berlaku pertembungan akibat kejahilan. Yang jahil lawan yang jahil, bertumbuk di bawah dan yang di atas senang-senang dapat elaun.

"Kena ingat, yang di bawah jangan jadi 'perkakas bodoh'. Kita kena tingkatkan kefahaman. Kita satu keluarga yang berjuang sekian lama dan kalau bergaduh pun jangan hingga hilang pertimbangan akal budi," katanya.