Program Subsidi Petrol bawa petaka pada PH: Perwakilan Kedah

Nasir menyampaikan perbahasan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di IDCC. - FOTO ROSLI TALIB
Nasir menyampaikan perbahasan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di IDCC. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Pengapungan harga petrol di bawah Program Subsidi Petrol (PSP) merupakan satu polisi yang mengundang tragedi kepada Pakatan Harapan (PH).

Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Nasir Zakaria berkata, pelaksanaan PSP tersebut mengundang padah dan akan menyebabkan PH jatuh berikutan kemarahan rakyat yang memuncak kepada kerajaan pada hari ini.

Beliau berkata, pentas Konvensyen Nasional Amanah 2019 kali ini sewajarnya digunakan bagi menghantar isyarat jelas kepada kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan program tersebut.

"Tragedi-tragedi seperti inilah yang menyebabkan jatuhnya populariti seperti yang berlaku pada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Disebabkan itulah, konvensyen hari ini perlu hantar isyarat jelas agar pelaksanaan program ini dikaji semula.

"Kalau tak, apa kita nak jawab pada rakyat," katanya ketika perbahasan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Dalam pada itu, Nasir turut mengingatkan perwakilan dan pimpinan Amanah untuk melihat cabaran yang bakal dibawa oleh pembangkang menerusi Muafakat Nasional.

Beliau berkata, pimpinan Amanah dan PH perlu mengambil perhatian serius serta melakukan perubahan segera susulan daripada kerjasama yang terjalin antara UMNO dan Pas.

"Apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Awang hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU), (kita) jangan ambil mudah.

"Tanjung Piai merupakan satu isyarat jelas supaya kita melakukan reformasi besar-besaran," katanya.

Artikel Berkaitan: