Hubungan dengan Anwar baik, positif, kata Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

MELAKA - Walaupun didakwa wujud pertelingkahan namun Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan bahawa hubungan beliau dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim baik dan positif.

"Cuma mungkin media berasa pelik kerana 60 tahun media laporkan parti yang (seperti) tidak boleh ada perbincangan dan perbezaan pandangan dalam kepimpinan.

"Bila tengok presiden dan timbalan (presiden PKR) berbeza pandangan, media terkejut. Ini demokrasi sihat. Presiden, timbalan presiden, cukup positif.

"Untuk bangunkan generasi baharu, yang kritis tetapi berpegang pada fakta dan ilmu yang tinggi," katanya di sini malam tadi.

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menjawab pertanyaan ketidakhadiran beliau pada mesyuarat Biro Politik PKR, Mohamed Azmin berkata, semua perkara itu telah dibincangkan dengan presiden parti dan kepimpinan tertinggi parti.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebab ketidakhadiran itu tidak akan dikongsi dengan media.

Artikel Berkaitan:

"Presiden ambil maklum penjelasan itu, ini perkara dibincangkan dalam parti, yang penting media melaporkan Keadilan bertambah kuat dan jitu," katanya.

Tambahnya, dalam sebuah parti yang dinamik dan mempertahankan prinsip demokrasi seperti PKR, terdapat pandangan serta pendekatan yang berbeza dalam melaksana yang terbaik untuk parti.