X

Kindly register in order to view this article
!

Azmin ajak ahli PKR perbaharui iltizam kukuhkan PH

Azmin ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019 di MITC malam ini. - Foto: Sharifudin Abdul Rahim
A
A

MELAKA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak ahli parti itu memperbaharui iltizam bagi memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, gagasan dan ideologi semata-mata tidak menjamin kemenangan untuk rakyat sebaliknya gabungan politik akan terus kukuh melalui gerak kerja pintar dan muafakat yang utuh.

Menurutnya, ahli parti perlu merasai denyut nadi dan menyelami aspirasi sanubari rakyat.

"Sekiranya kerajaan PH dapat menterjemahkan aspirasi tersebut ke dalam bentuk dasar, inisiatif dan program, mandat yang diberikan kepada PH akan berterusan.

"PH perlu meraikan kepelbagaian pendapat dan wacana fikiran yang sihat. Rakyat mahu melihat kesatuan dan keberkesanan dalam tindakan," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sini malam ini.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari.

Hadir sama, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha serta Timbalannya, Dr Daroyah Alwi dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalannya, Muhammad Hilman Idham.

Mohamed Azmin berkata, anak muda dan wanita memikul tanggungjawab membangun naratif Malaysia Baharu yang jitu berteraskan prinsip keadilan, kesaksamaan, kesederhanaan dan keterangkuman.

Menurutnya, Malaysia Baharu tidak boleh terjebak dalam wacana fahaman perkauman dan agama yang sempit.

"Sebaliknya Malaysia Baharu menuntut kita untuk berpegang kepada prinsip yang luhur, sederhana serta mendakap kepelbagaian.

"Tahun ini genaplah 20 tahun Keadilan (PKR). Saya kekal teguh bersama-sama saudara-saudari dan teman-teman seperjuangan," katanya.

Beliau berkata, PKR tidak dibangunkan oleh seorang individu kerana setiap ahli parti itu adalah kesatria dan srikandi PKR.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!