UMS, Universiti Shukutoku meterai MoU dalam bidang kebajikan sosial

Maszlee menyaksikan majlis MoU antara UMS dan Universiti Shukutoku bagi kerjasama dalam bidang Kebajikan Masyarakat di Dewan Bandaraya Itabashi, Tokyo hari ini.
Maszlee menyaksikan majlis MoU antara UMS dan Universiti Shukutoku bagi kerjasama dalam bidang Kebajikan Masyarakat di Dewan Bandaraya Itabashi, Tokyo hari ini.
A
A
A

TOKYO – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kebajikan sosial antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Shukutoku di Dewan Bandar Itabashi di sini.

UMS diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, sementara Universiti Shukutoku diwakili oleh Presidennya, Profesor Tetsuya Isooka.

Universiti Shukutoku ditubuhkan pada 1965 dan mewujudkan Jabatan Kebajikan Sosial, Fakulti Kebajikan Sosial sebagai jabatan sendiri di universiti tersebut.

Universiti itu juga secara berperingkat membuka Kolej Fakulti Kemanusiaan Bersepadu dan Kebajikan Sosial, Kolej Pengajian Komuniti, Sekolah Siswazah Shukutoku Kemanusiaan Bersepadu dan Kebajikan Sosial (Kampus Chiba).

Selain itu, ia turut membuka Kolej Komunikasi Silang Budaya dan Perniagaan, Kolej Pentadbiran Perniagaan, Kolej Pendidikan (Kampus Saitama), Kolej Kejururawatan dan Pemakanan, Sekolah Siswazah Kejururawatan (Kampus Chiba Ke-2) dan Kolej Kemanusiaan (Kampus Tokyo).

Sementara itu untuk rekod, UMS menerusi Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) secara tidak langsung telah memulakan kerjasama dengan universiti berkenaan sejak 2017 menerusi penganjuran Simposium Kerja Sosial Antarabangsa Borneo 2017 dan pengucaptama simposium itu ialah Pengarah Asian Research Institute for International Social Work (ARIISW) Universiti Shukutoku, Profesor Dr Tatsuru Akimoto.

Pada simposium tersebut juga, FPP UMS turut berpeluang berdiskusi dengan Kana Matsuo dan Profesor Fujimori daripada ARIISW berkaitan bidang kebajikan dan kerja sosial.

Ketika ini, pertumbuhan pesat dalam teknologi menjadikan kerja dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan teknologi menjadi sebahagian daripada keperluan hidup.

Artikel Berkaitan:

Negara Jepun, peneraju teknologi dan inovasi, baru-baru ini telah merangka pelan tindakan bagi masyarakat semasa yang dipanggil Society 5.0 iaitu menerajui dunia ke arah super-smart society.

Malaysia sebaliknya ingin meneliti idea Society 5.0 dan sejauh mana ia sesuai dalam pelan, program dan strategi nasional negara.

Justeru, UMS berhasrat untuk menerajui penyelidikan dalam impak Society 5.0.

Selain itu, FPP UMS berhasrat untuk melahirkan individu yang dapat membantu dan memberikan perkhidmatan kepada orang lain dengan harapan agar pelajar boleh membawa perubahan dan impak kepada komuniti dengan pelbagai cara.

Sebagai tambahan, Program Kerja Sosial, FPP telah diterima sebagai ahli berdaftar dalam Asia and Pacific Association for Social Work Education (APASWE).

Ahli-ahli akademik menyifatkan tepat pada masanya UMS bekerjasama dengan Universiti Shukutoku bagi mempertingkatkan bidang kebajikan sosial di Malaysia.