Jangan uji sabar saya: Anwar

anwarrr
A
A

KUALA KANGSAR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak berhenti menguji beliau dengan telahan parti itu lemah dan berpecah belah.

Menurutnya, selama ini beliau bersabar dengan apa juga pendapat dan pandangan baik di peringkat pemimpin mahupun akar umbi kerana memikirkan setiap orang mempunyai hak bersuara.

"Ada yang cakap Anwar ini lemah, sabar sangat bak kata Shamsul Iskandar (Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin), sabar Anwar tahap dewa. Ya, saya sabar tapi jangan uji saya.

"Jika kesabaran itu hingga memberi gambaran parti berpecah belah dan lemah, saya tak boleh (sabar)," katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Perak di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin parti politik agar tidak memberi gambaran negatif mengenai parti, sebaliknya bersama membina kekuatan parti.

"Orang nak tengok perkara negatif ini di mana-mana sahaja yang penting sama ada kita setuju atau tidak bersetuju.

"Selagi saya presiden, tanggungjawab saya membina kekuatan parti dan hormat suara akar umbi," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson tersebut turut menyuarakan keyakinan bahawa Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mulai 5 hingga 8 Disember ini akan memperlihatkan sokongan sebenar ahli kepada parti itu.

Katanya, kehadiran ahli-ahli dari pelbagai kaum akan mencipta sejarah baru atas perjuangan keadilan.

"Ini harapan saya dan saya yakin apa juga orang cakap atau telahan dibuat, saudara semua datang kongres nanti akan dapat lihat parti yang bersatu dan jauh lebih kuat daripada sebelum ini," katanya.

Konvensyen Keadilan Perak yang disertai lebih 4,000 ahli itu turut dihadiri Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar; Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Semua 24 Ketua Cabang PKR di Perak hadir kecuali Ketua Cabang Parit Buntar, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab (Tanjung Malim) atas masalah keluarga.