Satelit NASA temukan Vikram di permukaan bulan

Imej dikeluarkan satelit LRO tersebut menunjukkan lokasi impak kenderaan pendarat Vikram di permukaan bulan.
Imej dikeluarkan satelit LRO tersebut menunjukkan lokasi impak kenderaan pendarat Vikram di permukaan bulan.
A
A
A

WASHINGTON - Sebuah satelit milik Agensi Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) yang mengelilingi bulan menemukan pendarat Vikram yang terhempas pada permukaan bulan selepas ia gagal mendarat pada September lalu.

Imej diambil satelit Lunar Recoinnaissance Orbiter (LRO) tersebut menunjukkan lokasi impak kapal angkasa itu dan serpihan yang bertaburan lebih hampir 24 lokasi meliputi kawasan beberapa kilometer.

NASA memaklumkan, ia turut mengeluarkan imej mozek pada 26 September lalu dan mengajak orang ramai untuk mengesan kenderaan pendarat tersebut.

"Seorang individu bernama Shanmuga Subramanian menghubungi projek LRO selepas ia mengenal pasti serpihan objek di kawasan terletak kira-kira 750 meter di barat laut lokasi utama," jelasnya semalam.

Julai lalu, India melancarkan misi Chandrayaan-2 dengan harapan untuk menjadi negara keempat selepas Amerika Syarikat, Rusia dan China berjaya mendarat di bulan.

Kenderaan pendarat Vikram tersebut dilaporkan terputus hubungan ketika ia berada pada jarak 2.1 kilometer dari permukaan bulan pada awal September lalu.

Beberapa hari selepas gagal mendarat di kutub selatan bulan, Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) memaklumkan ia berjaya menemukan Vikram, namun gagal untuk menyambung semula komunikasi dengan kenderaan tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: