Nak tegur pun kena ada adatnya

prof
prof
A
A
A

KUANTAN - Sikap biadab pihak tertentu mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya berlaku dan perlu dihentikan.

Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Prof Aripin Said berkata, tindakan seumpama itu amat tidak wajar kerana sultan dan Yang di-Pertuan Agong adalah Raja Berpelembagaan.

Menurutnya, institusi raja adalah payung perpaduan rakyat jelata semua kaum justeru semua pihak harus menghormati dan menjunjung tinggi institusi tersebut.

“Sekiranya ada yang terbuku atau teguran, sampaikan dengan cara yang cerdik dan berhemah. Sebarang permasalahan boleh sembah maklum secara beradab dan jangan langgar membuta tuli di media sosial.

“Sikap sedimikian sebenarnya hanya menunjukkan kebiadaban dan keburukkan diri sendiri,” katanya.

Aripin berkata, sebagai ahli budaya, beliau cemas dengan ‘kecelaruan’ yang berlaku apabila ada pihak berani menghina Sultan Muhammad V susulan keputusan baginda meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Semua pihak sepatutnya menghormati dan menerima keputusan tersebut dan jangan mengheret isu itu untuk kepentingan peribadi, politik dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, rakyat negara ini perlu kembali kepada sejarah untuk memahami kepentingan institusi raja selain melihat konteks kesetiaan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kita mesti kembali kepada adat dalam hubungan dengan raja atau sultan. Nak menegur pun kena ada adatnya, memang patut tegur tapi bukan menghentam, sebab itu kefahaman dalam konteks ini cukup penting.

“Ertinya raja perlu disembah maklum (tegur) dalam sesuatu perkara yang berlaku jadi kita kena buat kerja dan sembah maklum untuk pengentahuan baginda,” katanya.

Beliau berkata, bagi membendung sikap tidak hormat kepada instusi raja,semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberikan kefahaman sebenar kepada anggota masyarakat terhadap fungsi dan kepentingan institusi raja-raja sebagai satu badan yang perlu dipelihara dan dihormati bagi setiap warganegara.

Katanya, langkah itu perlu memandangkan dewasa ini kesedaran dan kefahaman terhadap fungsi institusi itu kian longgar.

“Masyarakat bukan Melayu dan generasi muda khususnya perlu diberikan satu kesedaran bahawa raja bukan menaungi bangsa Melayu sahaja sebaliknya turut memayungi rakyat jelata secara keseluruhan.

“Raja-raja bukan macam pemimpin politik yang sentiasa bertukar ganti. Bila menang pilihan raya mungkin ada diangkat sebagai perdana menteri, menteri dan sebagainya dan sampai satu masa, ianya akan bertukar ganti,” katanya.

Menurutnya, bila bercakap tentang perlembagaanan semua orang dah hafal, tetapi terjemahan kepada raja perlembagaan tidak semua tahu dan faham.

“Setiap negeri ada perlembagaan sendiri justeru kefahamanan kepada sultan itu penting jadi kena lihat kepada sejarahnya..Seorang raja sebenarnya cukup penting dalam sosio budaya, sosio ekonomi dan sosio politik negara.

“Ini yang ramai orang tidak tahu sehinggakan konsep hormat dan kesetiaan kepada institusi ini ada yang cuba menafikan dan bagi saya, ia sesuatu yang agak mencemaskan,” katanya.

Justeri, beliau menegaskan generasi muda hari ini perlu diberi pendedahan secara ilmiah berhubung Institusi ini melalui satu pendekatan yang lebih bersifat ilmiah melalui seminar, kursus, forum dan sebagainya.

Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) perlu mengambil inisiatif ini bagi menjelaskan bahawa institusi raja-raja sebahagian sistem penting dalam kerajaan dan ia perlu dipertahankan.