X

Kindly register in order to view this article
!

Syed Saddiq mahu atlet fokus

Syed Saddiq (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pentadbir Kapal Nippon Maru, Yamamoto Shigeki pada Majlis 'Welcome Ceremony' Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) Ke-46 2019 di Boustead Cruise Centre hari ini. - Foto Bernama
A
A

ATLET kebangsaan yang bertanding di Sukan SEA ke-30 diminta tidak terganggu dengan masalah yang timbul di temasya berkenaan dan memberikan fokus sepenuhnya untuk mencapai sasaran pingat yang ditetapkan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang masalah sekiranya berlaku.

"Saya mahu atlet dengan pegawai untuk fokus. Fokus ini penting kerana semua negara melalui masalah yang sama. Kita mesti fokus dan yakin bahawa pencapaian 70 pingat emas dapat dicapai," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai beberapa isu dan masalah yang dihadapi atlet negara yang bertanding di Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ketibaan peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2019 di Terminal Boustead Cruise Centre, Pulau Indah di sini hari ini.

Mengulas mengenai isu tiada makanan halal dibekalkan kepada atlet negara di temasya berkenaan, Syed Saddiq berkata, pihaknya telah melakukan penghantaran kedua makanan halal ke Manila, Filipina hari ini.

Rabu lepas, media melaporkan sebanyak 500 kotak besar pek makanan Brahim's diterbangkan khas ke Filipina bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Mengulas mengenai SSEAYP 2019, Syed Saddiq berkata, program itu merupakan platform terbaik untuk peserta belajar mengasah sifat kepimpinan dan mengenali budaya pelbagai kaum yang ada di Asia Tenggara.

Program SSEAYP yang masuk tahun ke-46 penganjurannya disertai seramai 330 orang duta belia daripada 10 negara Asia Tenggara dan Jepun.

Pada program kali ini, seramai 29 orang belia dari Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang telah dipilih oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk turut serta dalam program selama 52 hari itu.

Program SSEAYP yang dijalankan di atas kapal Nippon Maru berkenaan bermula pada 25 Oktober lepas di Tokyo, Jepun dan telah berlayar ke Vietnam, Singapura serta Myammar dan kini ia berlabuh di Malaysia selama empat hari sebelum meneruskan pelayaran ke Tokyo, Jepun. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!