Rebut RM15,000 di Tasik Raub

Mohd Haris (depan) bersama Ahli Jawatankuasa Induk Pertandingan Memancing melepaskan spesis patin dan keli untuk cabaran memancing Ahad ini.
Mohd Haris (depan) bersama Ahli Jawatankuasa Induk Pertandingan Memancing melepaskan spesis patin dan keli untuk cabaran memancing Ahad ini.
A
A
A

KUANTAN - Hadiah bernilai RM15,000 bakal menjadi rebutan peserta dalam pertandingan memancing sempena Fiesta RISDA yang berlangsung di Tasik Raub Ahad ini.

Pegawai Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Daerah Raub, Mohd Haris Matori berkata, pertandingan memancing yang menjadi antara acara Fiesta RISDA 2019 menyasarkan 700 peserta.

Menurutnya, fiesta yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini diadakan bagi memastikan keharmonian dan perpaduan selain memperkenalkan Tasik Raub kepada peminat-peminat kaki pancing amnya.

"Kita harap pertandingan memancing ini dapat mewujudkan suasana ceria malah tasik ini sememangnya menanti peserta untuk menaikkan spesies mega yang ada di dalam tasik ini antaranya patin, kap, haruan, keli, toman, lekoh, tongsan koi, jelawat dan rohu.

“Juara pertandingan akan membawa pulang RM5,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000. Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 dan pemenang tempat ke-11 hingga ke-50 menerima RM100 seorang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Haris berkata, lebih satu tan ikan telah dilepaskan di tasik itu yang lalu antaranya spesies patin dan keli seberat antara tiga hingga empat kilogram (kg).

Selain itu, katanya, setiap peserta dikenakan bayaran RM50 untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook: beritapancingmalaysia atau hubungi urus setia di talian 013-2667011 atau 012-2846811.

Artikel Berkaitan: