Muhyiddin ketuai delegasi Malaysia ke AMMTC ke-13 di Bangkok

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

BANGKOK - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Bangkok.

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

AMMTC ke-13 dihadiri 10 negara anggota ASEAN, Rakan Dialog ASEAN+3 (China, Japan, Korea) dan Sekretariat ASEAN (ASEC) bagi membincangkan hal berkaitan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan senjata, keganasan, pengubahan wang haram, lanun, pemerdagangan manusia, jenayah ekonomi antarabangsa, jenayah siber, pengedaran dadah, hidupan liar dan kayu balak.

Tahun ini, terdapat lima mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) dan lima mesyuarat AMMTC yang merangkumi sesi pleno dan konsultasi dengan Rakan Dialog ASEAN+3.

Esok, Muhyiddin akan menghadiri majlis perasmian AMMTC ke-13 diikuti sesi pleno.

Muhyiddin akan menyampaikan kenyataan mengenai antikeganasan, ekstremisme, pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, lanun serta penyeludupan manusia dan dadah.

Pada Khamis, Muhyiddin dijadual menghadiri Konsultasi AMMTC+3 ke-10, Konsultasi AMMTC+China ke-7 dan Konsultasi AMMTC+Jepun ke-5.

Muhyiddin akan turut meluangkan masa bertemu diaspora Malaysia di Kedutaan Malaysia di Bangkok. - Bernama

Artikel Berkaitan: