Deklarasi Keluarga Malaysia jadi agenda nasional

Dr Wan Azizah berucap pada Majlis Pelancaran Deklarasi Keluarga Malaysia di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGiC) hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah berucap pada Majlis Pelancaran Deklarasi Keluarga Malaysia di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGiC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM) akan menjadi sebahagian daripada agenda nasional supaya semua pihak meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam segala perancangan dan tindakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berucap melancarkan DKM di sini hari ini, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, DKM menggariskan dasar dan prinsip yang terkandung dalam Dasar Keluarga Negara (DKN), selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Institusi keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan dan penambahbaikan sistem nilai serta akhlak daripada satu generasi kepada generasi berikutnya kerana inilah yang membentuk sebuah negara bangsa," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, DKM menggariskan enam prinsip teras iaitu pertama, memartabatkan institusi keluarga yang terdiri daripada kepelbagaian generasi sebagai asas pembentukan negara yang sejahtera.

Prinsip kedua, katanya ialah memperkukuh peranan keluarga dalam pembentukan nilai murni sebagai asas perpaduan masyarakat manakala ketiga memperkasa penglibatan masyarakat dalam pengukuhan sistem sokongan keluarga sejahtera.

Prinsip keempat pula menekankan kepentingan melindungi hak dan keselamatan keluarga dalam segenap lapisan masyarakat manakala prinsip kelima, mendukung segala inisiatif dan menggembleng segala sumber untuk meningkatkan pengukuhan institusi perkahwinan dan keluarga

Beliau berkata, prinsip terakhir DKM pula adalah menyokong usaha memanfaatkan penggunaan teknologi secara bijaksana bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan keluarga.

"Keutamaan mestilah diberikan terhadap khidmat sokongan kepada keluarga yang memerlukan perhatian seperti ibu tunggal, bapa tunggal, keluarga miskin tegar, keluarga mudah terancam, keluarga anak istimewa dan keluarga kurang upaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan di Malaysia tahun 2017, ia mengenal pasti tujuh cabaran utama institusi keluarga pada hari ini termasuk kemampuan untuk memiliki ramai cahaya mata, harga rumah kediaman di luar kemampuan, sumber sokongan sosial keluarga yang terhad dan pengangguran.

Statistik Jabatan Perangkaan tahun 2017 pula menunjukkan 22 peratus lelaki dan 23.4 peratus wanita berumur antara 30 hingga 34 tahun telah bercerai, manakala sebanyak 3,913 kes keganasan rumah tangga direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak 2015 hingga Jun tahun ini.

Bagi melibatkan semua pihak dalam menjayakan DKM, Dr Wan Azizah berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut membangunkan Direktori Perkhidmatan Keluarga yang menyediakan maklumat dan panduan berkaitan khidmat sokongan berkaitan keluarga.

Katanya, hampir 100 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) penyedia perkhidmatan seperti konsultasi perkahwinan dan perceraian, pengurusan warga emas, konsep keibubapaan, pengurusan kewangan keluarga, kaunseling dan terapi boleh didapati melalui platform itu yang boleh dilayari di laman sesawang lembaga itu.

Dr Wan Azizah turut menyentuh trend membimbangkan berkaitan tekanan dan masalah mental dengan Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 356 kes bunuh diri berlaku antara 2014 hingga Jun tahun ini.

Katanya, KKM sedang mengkaji cadangan untuk mengaktifkan semula National Suicide Registry manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melatih seramai 10,840 sahabat KPWKM untuk mengukuhkan lagi sistem bimbingan dalam komuniti.

"Yang pentingnya adalah untuk individu dan keluarga sentiasa perlu peka dan bersedia untuk mendapatkan bantuan kesihatan termasuk kesihatan mental," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, individu yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh juga mendapatkan bantuan melalui talian bebas tol 24 jam 03-79568145 dikendalikan NGO The Befrienders dan juga Talian Kasih 15999. - Bernama