Amaran cuaca peringkat waspada di Pantai Timur mulai esok

Jabatan Meteorologi Malaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning bagi hampir keseluruhan kawasan di Kelantan, Terengganu dan beberapa daerah di Pahang berikutan luruan angin timur di rantau negara bermula esok yang dijangka boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon berkata, kawasan yang terlibat di Pahang ialah Daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Berikutan luruan angin itu, angin kencang dengan kelajuan antara 40 sehingga 50 kilometer sejam (km/jam) dengan ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan negeri terbabit dan amaran cuaca tersebut dikeluarkan berkuatkuasa dari 25 hingga 27 November (Rabu) ini.

"Selain itu, kenaikan paras air laut turut dijangka berlaku berikutan daripada kejadian air pasang dalam tempoh tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, kejadian boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.

Sementara itu, beliau memaklumkan, berikutan keadaan cuaca buruk di Pantai Timur dijangka semakin berkurangan, amaran cuaca buruk peringkat jingga yang dikeluarkan pada 2 petang, 22 November lalu untuk Terengganu (Daerah Kemaman) dan Pahang (Daerah Kuantan, Pekan dan Rompin) diturun taraf kepada amaran waspada peringkat kuning manakala untuk Johor ditamatkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: