PH boleh jadi kerajaan sepenggal: Kit Siang

Kor Ming menyampaikan cenderahati kepada Kit Siang yang hadir merasmikan Konvensyen DAP Perak di Hotel Ritz Garden di sini hari ini.
Kor Ming menyampaikan cenderahati kepada Kit Siang yang hadir merasmikan Konvensyen DAP Perak di Hotel Ritz Garden di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpotensi menjadi kerajaan sepenggal berdasarkan keputusan diperoleh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

Perkara itu diakui sendiri Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Lim Kit Siang yang melihat jika sesuatu tidak dilakukan, PH akan mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, gerak kerja PH perlu disemak semula dan mereka perlu kembali kepada politik sederhana dengan tidak bersaing melalui cara menyebar kebencian selain perlu bertolak ansur.

"Kalau kita ikut keputusan di Tanjung Piai, tentulah PH akan menjadi satu kerajaan satu penggal sahaja, tidak ada masa depan. Tentunya kita akan kalah teruk pada PRU15. Tetapi adakah ini apa yang rakyat mahu, adakah ini rakyat Malaysia mahu?.

"Kita perlu mewujudkan set minda baharu dalam kalangan komponen. Masalah parti-parti lain pun masalah DAP, masalah DAP pun masalah parti-parti yang lain. Set minda bersama ini perlu kalau kita mahu berjaya untuk melaksanakan projek-projek PH," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Perak yang berlangsung di Hotel Ritz Garden di sini semalam.

Hadir sama pada konvensyen itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan wakil-wakil pimpinan PH.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menegur pimpinan dan ahli DAP yang kini tidak lagi memainkan peranan membawa suara rakyat sebaliknya peranan itu kini dimainkan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya, tidak seperti 52 tahun lalu, DAP kini merupakan parti yang senyap setelah menjadi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"18 bulan ini kita tak berani menyatakan apa yang kita fikir atau rakyat fikir. Saya rasa ini perlu dilihat semula. Kita perlu ada keseimbangan baru di mana perkara yang belum menjadi konsensus PH ada ruang untuk parti komponen memberikan pandangan, bukan untuk jahanamkan PH tetapi mengeluarkan pandangan bagaimana bergerak lebih efektif.

"Dalam tempoh 18 bulan itu juga, kita cuba berusaha bersaing bersama mereka (pembangkang) dengan tidak menggunakan cara kebencian dan sikap tidak bertolak ansur dalam politik kaum dan agama tetapi dalam PRK Tanjung Piai (usaha itu) tidak berjaya," katanya.

Kit Siang dalam pada itu turut menegaskan bahawa DAP tidak akan menjadi MCA 2.0 dan PH tidak akan menjadi BN 2.0.