Sukan SEA 2019: FAM, Wan Kuzain berdepan kekangan masa

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KEKANGAN masa antara faktor utama mengakibatkan bintang muda bola sepak yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal gagal ke Sukan SEA 2019 di Filipina.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, FAM dan Wan Kuzain hanya mempunyai tempoh masa yang singkat untuk menyelesaikan masalah dokumentasi pemain berusia 21 tahun itu.

Berikutan itu, pemain tengah Sporting Kansas City itu tidak dinamakan pada saat akhir dalam senarai akhir 20 pemain skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kendalian Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee, selepas lima hari menyertai kem latihan pusat pada Isnin lalu.

“Mungkin jika mempunyai masa yang lebih kita boleh selesaikan isu ini, tetapi semalam adalah tarikh akhir dan keputusan perlu dibuat sama ada beliau bersama pasukan atau pun tidak.

"Maklumat mendalam saya tidak boleh kongsikan bersama tetapi keputusan perlu dibuat semalam kerana pasukan berlepas hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Kesembilan Bagi Penggal 2017-2021 di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.

Stuart pada hujung Oktober lalu dilaporkan berkata, proses memastikan pemain tersebut dapat beraksi bersama skuad B-22 negara memakan masa sekurang-kurangnya dua minggu dan FAM hanya menunggu kepulangan Wan Kuzain ke Malaysia ketika itu.

Dalam pada itu, mengenai spekulasi bahawa keengganan Wan Kuzain melepaskan pasport Amerika Syarikat menjadikan proses dokumentasinya bertambah rumit, Stuart berkata: “Semua sedia maklum di negara kita, hanya boleh memegang satu pasport sahaja. Dalam situasi ini pemain bola itu kena memilih dan beliau bukannya tidak bermain di sana (Amerika Syarikat).”

Stuart menegaskan Wan Kuzain menyimpan hasrat menabur bakti bersama skuad negara dan FAM tidak akan berputus asa dalam merealisasikan impian pemain itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya di sebalik apa yang berlaku ini akan memberi lebih manfaat terhadap perkembangan prestasi Wan Kuzain dalam saingan Major League Soccer (MLS) yang merupakan liga bola sepak utama di Amerika Syarikat.

“Kita nak yang terbaik buat beliau. Kita tidak mahu sesuatu keputusan yang dibuat dalam masa yang singkat akan memberi kesan buruk kepada karier di kelabnya.

"Biar beliau kekal bermain di sana dan raih seberapa banyak pengalaman berharga,” katanya. - Bernama