FAM mungkin panggil Cools sertai Harimau Malaya

Dion Johan Cools
Dion Johan Cools
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia mengkaji kemungkinan memanggil pemain kacukan Belgium-Malaysia kelahiran Sarawak, Dion Johan Cools mewakili Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menegaskan tidak mahu terburu-buru kerana perlu meneliti beberapa perkara sebelum boleh memanggil pemain itu yang kini bermain bersama kelab Liga Belgium, Club Brugge.

"Kita akan cuba berhubung dengan beliau dan dalam masa sama melihat kemungkinan untuk membawa pemain itu bermain bersama pasukan negara.

"Tetapi, di pihak FAM kami tidak mahu terburu-buru kerana untuk mendaftarkan Cools dalam skuad Harimau Malaya untuk pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sudah tidak boleh.

"Jadi, mungkin tahun depan selepas Mac kita akan tengok macam mana," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Cools melalui Instagram miliknya seolah-olah memberikan tanda mahu mewakili Harimau Malaya selepas berkongsi gambarnya memakai jersi pasukan negara.

Selain daripada mewakili kelab di pentas Eropah, Cools yang beraksi di posisi pertahanan kanan juga pernah beraksi untuk pasukan muda Belgium.

Namun sehingga kini, pada usia 23 tahun, beliau belum lagi pernah mendapat panggilan daripada Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, kata Stuart, FAM juga mempunyai jabatan naturalisasi di persatuan itu yang akan mengkaji terlebih dahulu proses dan prosedur untuk membawa pemain itu menyarung jersi negara.

Namun, jelasnya, kesudian Cools untuk mewakili Harimau Malaya merupakan petanda baik kepada senario bola sepak di negara ini.