Kim Swee akur Malaysia tanpa khidmat Wan Kuzain

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketiadaan pada saat akhir bintang muda berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dalam senarai skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara merencatkan persiapan pasukan itu menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina.

Pemain tengah Sporting Kansas City itu terpaksa diketepikan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee susulan masalah dokumentasi, hanya selepas lima hari menyertai kem latihan pusat pada Isnin lepas.

Kim Swee mengakui ketiadaan Wan Kuzain sedikit dirasai apabila pemain berusia 21 tahun itu menunjukkan keserasian bersama pasukan dan mampu memainkan peranan penting dalam misi melakar kejayaan cemerlang pada temasya sukan itu.

“Sememangnya ada masalah membabitkan dokumentasi (Wan Kuzain) yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain (pada 22 November).

"Ketiadaannya dirasai pasukan dan sepanjang tempoh latihan beliau menunjukkan keserasian bersama pemain lain. Namun ada beberapa pemain lain yang boleh mengisi kekosongan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Kuzain sebelum ini dipetik sebagai berkata, menjadi satu kebanggaan apabila akhirnya dapat menyertai latihan bersama skuad negara dan berazam membantu Malaysia meraih pingat emas di Filipina.

Mengulas lanjut mengenai potensi Wan Kuzain bakal menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang, Kim Swee menyerahkan segala keputusan kepada pemain tersebut dalam menentukan hala tujunya.

“Biar Wan Kuzain sendiri buat pilihan bagi masa depan karier bola sepak beliau dan kita menyokong apa yang beliau lakukan selepas ini,” jelas pengendali berusia 48 tahun itu.

Kim Swee hari ini mengumumkan senarai akhir 20 pemain pasukannya ke Filipina selepas menggugurkan 12 pemain daripada 32 nama dalam senarai keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu lepas, beliau mengesahkan bintang sensasi Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid tidak akan bersama pasukannya ke Filipina dengan alasan merehatkan pemain itu yang telah mengharungi jumlah perlawanan yang banyak sepanjang 2019.

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar pada Isnin (25 Nov), diikuti Filipina (29 Nov), Timor Leste (2 Dis) dan Kemboja (4 Dis). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila. - Bernama