1,060 permohonan TUNS diluluskan tahun ini

Mohamad Rafie (duduk, enam dari kiri) bersama penerima geran TUNS bagi Fasa 3 dan 4 dalam satu majlis di Seremban.
Mohamad Rafie (duduk, enam dari kiri) bersama penerima geran TUNS bagi Fasa 3 dan 4 dalam satu majlis di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 1,060 permohonan geran Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) membabitkan nilai keseluruhan RM3.046 juta telah diluluskan sepanjang tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafaie Ab Malek berkata, daripada jumlah itu, usahawan mikro dari sektor makanan paling ramai mendapat manfaat iaitu 46 peratus, perkhidmatan (27.1 peratus), peruncitan (9.3 peratus), tekstil (5.1 peratus) dan lain-lain (12.5 peratus).

"Nilai keseluruhan peruntukan diluluskan itu melebihi kuota RM3 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk diagihkan kepada sekurang-kurangnya 1,000 usahawan mikro di Negeri Sembilan

"Jadi lebihan RM46,158.52 akan dibawa ke tahun hadapan untuk disalurkan bersama permohonan yang akan diluluskan pada tahun itu," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sehingga kini masih terdapat sebanyak 1,718 permohonan masih belum diproses dan ia melebihi sasaran ditetapkan tahun ini seramai 1,000 orang.

Menurutnya, sekiranya semua lebihan permohonan itu diluluskan pada tahun hadapan dengan amaun RM3,000 bagi setiap permohonan, peruntukan sebanyak RM5,154,000 diperlukan.

"Mengambil kira kekurangan peruntukan sebanyak RM46,158.52 bagi permohonan yang telah diluluskan pada tahun ini iaitu melebihi kuota RM3 juta yang diperuntukkan, bermakna sebanyak RM5,200,158.52 diperlukan bagi tahun depan," katanya.

Selain itu katanya, terdapat beberapa faktor permohonan TUNS ditolak antaranya pemohon tidak lagi menjalankan aktiviti perniagaan berstatus mikro.

Artikel Berkaitan:

Antara lain katanya, butiran permohonan pembiayaan yang dikemukakan adalah tidak berkaitan dengan kod bidang yang didaftarkan di dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), butiran permohonan pembiayaan yang dikemukakan tidak berkaitan (ubah suai premis) dan perniagaan separuh masa serta bermusim.