Jangan bermain sambil lewa

Pemain Harimau Malaya diingatkan tidak memandang rendah keupayaan jentera Indonesia pada perlawanan malam esok. - Foto: FB Football Association of Malaysia (Official)
Pemain Harimau Malaya diingatkan tidak memandang rendah keupayaan jentera Indonesia pada perlawanan malam esok. - Foto: FB Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A

PEMAIN Harimau Malaya diingatkan jangan bermain sambil lewa menjelang perlawanan menentang Indonesia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil malam esok.

Bekas pemain negara era 90-an, Mohd Hashim Mustapha, 53, berkata, perlawanan malam esok sudah tentu peminat meletakkan 100 peratus pasukan negara akan memenangi perlawanan itu berikutan pada perlawanan September lepas di tempat lawan, pasukan negara berjaya menewaskan pasukan Indonesia.

"Jangan ambil kira atau ukuran keputusan pada perlawanan sebelum ini dan keputusan menewaskan pasukan Thailand tiga hari lalu di Stadium Bukit Jalil.

"Jadi, jangan bermain sehingga terjadi keputusan yang mengecewakan sedangkan peminat telah meletak harapan tinggi kepada pasukan negara untuk memperoleh mata di depan mereka (tempat sendiri)," katanya kepada media di sini hari ini.

Pada perlawanan sebelum ini, pasukan negara berjaya menewaskan pasukan musuh tradisi itu dengan jaringan 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia.

Pada perlawanan tiga hari lepas dalam saingan sama, pasukan negara turut memperoleh keputusan cemerlang apabila menewaskan pasukan Thailand, 2-1.

Hashim berkata, perlawanan bola sepak tidak cukup tampil dengan keyakinan sebaliknya pemain perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan milik mereka.

"Keyakinan itu bagus, namun perlu datang dengan kerja keras, semangat dan tumpuan serta kurangkan melakukan kesilapan yang boleh memberikan kelebihan kepada pemain pasukan lawan.

Artikel Berkaitan:

"Perlu ada tumpuan dan hala tuju untuk memenangi perlawanan malam esok dan harapan penyokong usah menjadi tekanan berat sehingga hilang tumpuan," katanya.

Beliau berkata, pemain negara juga perlu berhati-hati dengan corak permainan pasukan Indonesia yang dilihat bermain secara pantas dan agresif.

"Begitu juga pemain perlu bersabar dengan psikologi-psikologi yang dilakukan oleh pemain dan penyokong lawan, selain penyokong kita tidak lakukan tindakan yang boleh mencemar imej bola sepak negara," katanya.

Pasukan negara ketika ini berada di kedudukan keempat daripada lima pasukan dengan memperoleh enam mata selepas empat perlawanan hasil daripada dua kemenangan dan dua kekalahan.

Pasukan negara diundi bersama empat pasukan lain iaitu Vietnam, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia dalam Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Bernama