PH raih lima peratus undi Melayu

A
A

KEKALAHAN besar calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti undi 15,086 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kelmarin amat mengejutkan.

Tidak ramai menyangka PH yang menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengalami kekalahan besar sedemikian meskipun diperkuat dengan jentera kerajaan serta tawaran pembangunan lebih baik kepada rakyat.

Di mana silapnya? Apa puncanya mereka mengalami kekalahan PRK dengan keputusan terburuk setakat ini?

Berdasarkan sumber dalaman jentera operasi pilihan raya PH, analisis kasar dibuat pihaknya mendapati peratusan sokongan pengundi Cina terhadap Karmaine merudum teruk berbanding tiga PRK sebelum ini.

Menurut sumber terbabit, jentera operasi pilihan raya PH sememangnya sudah menjangkakan kemerosotan sokongan pengundi Cina terhadap Karmaine pada PRK kali ini.

"Kita menjangkakan di sebalik kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada calon PH. Kita masih boleh mengekalkan sekurang-kurangnya 60 hingga 65 peratus berbanding lebih 70 peratus diterima pada PRU14.

"Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila sokongan pengundi Cina jatuh merudum kepada 25 hingga 30 peratus, sekali gus membuka jurang perbezaan besar dari segi majoriti kekalahan undi berbanding calon BN," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sumber turut memberitahu, PH berkeyakinan mampu meraih peningkatan sokongan daripada kaum Melayu sebanyak 20 peratus berbanding PRU14.

Katanya, berdasarkan PRU14 lalu, sokongan pengundi Melayu kepada PH di Parlimen Tanjung Piai kira-kira 20 peratus.

"Berdasarkan tawaran pembangunan kepada masyarakat Melayu pada PRK kali ini, PH berkeyakinan mampu menambah sokongan pengundi Melayu sekurang-kurangnya 20 peratus kali ini.

"Bagaimanapun sentimen perkauman kuat dimainkan BN dan UMNO dengan menjadikan DAP sebagai modal akhirnya memberi kesan besar untuk mempengaruhi pengundi Melayu.

"Berdasarkan perkiraan kasar dibuat, sokongan pengundi Melayu terhadap PH hanya setakat di bawah lima peratus, sekali gus memberikan isyarat kami akan tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya tiada perubahan dilakukan kerajaan sedia ada," katanya.

Sumber dalaman berkenaan turut mengakui peralihan mendadak sokongan masyarakat Cina terhadap calon PH adalah di luar jangkaan.

Menurutnya, perubahan sokongan masyarakat itu mula dilihat sejak tiga hari terakhir kempen PRK dengan kemuncaknya pengedaran risalah undi calon Melayu dan Islam PH sewaktu ceramah perdana dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kukup.

"Pengedaran risalah itu amat mengejutkan kerana ia bukan daripada jentera PH. Kita cuba untuk memberi penjelasan semula kepada masyarakat Cina. Namun segalanya sudah terlambat," katanya.

Bagaimanapun, sumber dalaman berkenaan menafikan terdapat usaha sabotaj dalaman PH yang didakwa dibuat DAP dan PKR bagi memberi tekanan kepada Dr Mahathir.

Katanya, tidak berlaku sebarang usaha memboikot dalam kalangan ahli jentera PH di peringkat akar umbi sewaktu kempen PRK berlangsung.