Terpaksa kerja sambilan di hotel tampung kos belajar

Khairun Nisa (dua dari kiri) bersama graduan cemerlang pada Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-14 semalam.
A
A

KUANTAN - Hidup serba kekurangan membuatkan anak sulung daripada empat beradik ini sanggup bekerja sambilan sebagai kru bankuet di sebuah hotel di sekitar daerah ini.

Khairun Nisa Mazlan, 23, yang merupakan penerima Anugerah Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kali ke-14 semalam berkata, meskipun dibayar upah sekitar RM8 sejam, namun dia tetap bekerja untuk menampung kos sepanjang belajar di universiti.

Dia terpaksa melakukan kerja sambilan kerana memahami kepayahan ibunya, Nooraishah Bidin, 48, yang terpaksa bekerja kuat demi menanggung keluarganya.

Menurutnya, walaupun mengambil keputusan untuk bekerja sambilan, pelajaran tidak diabaikan malah terus cemerlang apabila menerima tujuh kali anugerah dekan.

"Saya tidak sangka akan menerima anugerah ini... selama tujuh semesta berturut-turut saya peroleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 sepanjang pengajian.

"Walaupun kursus pengurusan projek di Fakulti Pengurusan industri (FIM) bukan di dalam bidang saya kerana sejak di sekolah menengah hingga matrikulasi yang mengambil subjek sains, tetapi saya buktikan mampu cemerlang," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Majlis Konvokesyen UMP semalam.

Khairun Nisa yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, tiada sebarang rahsia untuk berjaya diamalkan selain mendapatkan restu daripada ibu sebelum menduduki peperiksaan.

Katanya, dia akan menghubungi ibunya setiap kali peperiksaan, kuiz dan sebagainya untuk memohon maaf dan meminta restu agar dipermudahkan segala urusan.

"Restu dan berkat doa ibu membuat saya berjaya hingga tahap ini dan terus terang cakap ibu adalah idola saya. Kecekalannya membesarkan saya dan adik-beradik menjadi sumber kekuatan.

"Ibu menjadi tabah dan cekal sejak arwah ayah meninggal akibat penyakit leukemia ketika saya berusia 12 tahun. Jika ibu boleh melakukan seorang diri mengapa saya tidak mampu menjadi cekal seperti ibu," katanya.

Gadis ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah dia turut bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Khairun Nisa berkata, dia pernah menyertai hampir 40 aktiviti yang dianjurkan di dalam dan luar kampus sepanjang empat tahun pengajian di sini.

“Segala cabaran dan kepayahan yang dilalui sepanjang pengajian di sini (UMP) berbaloi apabila kini diterima bekerja sebagai Wakil Komoditi Perintah Sistem Standard (CCSS) 1, Pusat Hubungan Sokongan Global di HSBC Data Processing di Cyeberjaya, Selangor.

"Untuk berjaya, perancangan dan pengurusan masa yang teratur amat diperlukan untuk menyelesaikan proses sesuatu perkara.

"Malah perlu menjaga hubungan sesama manusia sepertimana menjaga hubungan dengan pencipta," katanya.