Ini kejayaan bersama Muafakat Nasional, kata Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan ‘kejayaan bersama Muafakat Nasional’.

Menurutnya, kemenangan itu menunjukkan penerimaan rakyat terhadap agenda penyatuan ummah bagi mengukuhkan kerjasama dan integrasi lebih erat di peringkat nasional.

“Kekalahan PH (Pakatan Harapan) dalam pilihan raya kecil ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan PH membela kebajikan rakyat dan janji manifesto yang tidak tertunai di samping petanda rakyat menolak budaya politik ekstrem dan fitnah melampau.

“Pas merakamkan setinggi penghargaan kepada para ahli dan petugas Pas yang membantu dalam kempen PRK ini dengan penuh kepatuhan dan juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyampaikan pesanan kepada calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang menang bergaya dalam pilihan raya tersebut.

“Kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, marilah kita bersama membela kebajikan rakyat dan mengukuhkan agenda perpaduan nasional dengan sebaiknya di Parlimen,” katanya.

Keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan Jeck Seng berjaya mengetepikan persaingan daripada lima calon lain selepas dua minggu tempoh berkempen dengan majoriti sebanyak 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berjaya memperoleh 25, 466 undi mengatasi Karmaine Sardini (PH) yang memperolehi 10,380 undi, Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) 850 undi.

Artikel Berkaitan:

Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masing hanya memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kemenangan itu pasti menguatkan lagi blok pembangkang, bukan sahaja dari segi bilangan kerusinya, juga keberkesanan suara pembangkang yang konstruktif.

“Pas turut yakin formula yang digunakan oleh gandingan UMNO/BN – Pas/GS (Gagasan Sejahtera) bagi menghadapi PRK Tanjung Piai ini amat sesuai dijadikan antara asas kerjasama politik bersama dalam PRU15 nanti.

“Pas juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Tanjung Piai yang telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dengan sebaiknya,” katanya.