'Tunggu kenyataan rasmi saya' - Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) diiringi Dr Sahruddin (dua dari kanan) dan pemimpin jentera pilihan raya kecil (PRK) PH Parlimen Tanjung Piai sewaktu beredar dari Bilik Gerakan Utama PH, Rambah malam ini.
Muhyiddin (tengah) diiringi Dr Sahruddin (dua dari kanan) dan pemimpin jentera pilihan raya kecil (PRK) PH Parlimen Tanjung Piai sewaktu beredar dari Bilik Gerakan Utama PH, Rambah malam ini.
A
A
A

PONTIAN - "Saya akan keluarkan kenyataan rasmi nanti."

Demikian kenyataan ringkas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diminta mengulas kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai malam ini.

Karmaine yang juga calon Bersatu bersama lima calon lain termasuk dua calon bebas, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan jumlah majoriti undi 15,086.

Kekalahan besar Karmaine dianggap satu kejutan terhadap PH, lebih-lebih lagi pakatan itu mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam sembilan PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kejayaan Jeck Seng juga merupakan kemenangan kali pertama BN sejak diterajui semula Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, kelihatan Muhyiddin keluar dari bilik operasi utama PH di Eco Rambah Homestay di sini bersama Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin sejurus selepas majlis pengumuman keputusan rasmi PRK Parlimen Tanjung Piai kira-kira jam 9.16 malam.

Kesemua mereka terus beredar dari bilik operasi utama PH dan bergegas memasuki kenderaan masing-masing.

Usaha media untuk menemuramah Dr Sahruddin juga gagal apabila Menteri Besar Johor itu hanya menjawab ringkas, "Tanya bos (rujuk Muhyiddin)!"

Artikel Berkaitan:

Jeck Seng berjaya memperoleh undi 25,466 mengatasi Karmaine yang memperolehi 10,380 undi, Wendy Subramaniam (Gerakan) 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) 850 undi.

Manakala, dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masingnya memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Keputusan rasmi PRK Parlimen Tanjung Piai itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir di pusat penjumlahan undi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.

PRK kali ini turut menunjukkan peratusan keluar mengundi lebih 74.5 peratus daripada 52,471 jumlah pemilih yang berdaftar.

Sebelum ini, kerusi Parlimen berkenaan disandang oleh PH, iaitu Allahyarham Datuk Dr Md Farid Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.