LKIM had eksport enam spesies ikan, udang

Muhammad Faiz (tengah) menyerahkan cek replika sumbangan bantuan persekolahan kepada anak-anak nelayan dari PNK Matang bernilai RM10,000 kepada wakil PNK Matang hari ini.
Muhammad Faiz (tengah) menyerahkan cek replika sumbangan bantuan persekolahan kepada anak-anak nelayan dari PNK Matang bernilai RM10,000 kepada wakil PNK Matang hari ini.
A
A
A

KUALA SEPETANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil inisiatif mengehadkan pengeksportan enam spesies ikan rakyat dan udang ke luar negara bermula bulan Januari hingga 28 Februari hadapan.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah mengehadkan sepenuhnya pengeksportan bekalan ikan rakyat dan udang adalah bagi memastikan bekalan ikan tempatan mencukupi sepanjang musim tengkujuh, fenomena ribut tropika Pabuk dan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, kesemua enam spesies ikan rakyat dibekukan sepenuhnya inisiatif pengeksportan adalah ikan kembung, ikan selar, ikan selayang, ikan pelaling, ikan bawal dan satu lagi adalah udang.

"Langkah pengehadan eksport bekalan ikan dan udang berkenaan adalah melibatkan bekalan 100 sehingga musim perayaan Tahun Baru Cina pada penghujung bulan Februari kelak.

"Inisiatif ini penting bagi memastikan keseimbangan harga pasaran ikan tempatan dapat dikekalkan sepanjang masa tanpa berlaku sebarang kenaikan yang pastinya membebankan rakyat," katanya kepada media pada majlis penyampaian bantuan persekolahan anak-anak nelayan Persatuan Nelayan Kawasan(PNK) Matang, di sini hari ini.

Muhammad Faiz (tengah) menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan bantuan persekolahan daripada LKIM kepada 100 pelajar keluarga nelayan Matang sambil diiringi Hasnul Zulkarnain (dua, kiri) dan Raja Kahalid (kiri).
Muhammad Faiz (tengah) menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan bantuan persekolahan daripada LKIM kepada 100 pelajar keluarga nelayan Matang sambil diiringi Hasnul Zulkarnain (dua, kiri) dan Raja Kahalid (kiri).

Majlis itu menyaksikan seramai 100 pelajar keluarga nelayan di sini menerima bantuan wang tunai RM100 dan sumbangan peralatan sekolah.

Turut hadir Exco Kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Yang Mulia Raja Kahalid Raja Ariffin dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz berkata, LKIM menerusi Nekmat, Persatuan Nelayan Terengganu dan Persatuan Nelayan Kuala Kedah turut membuat persediaan memastikan bekalan ikan mencukupi di sepanjang tempoh musim tengkujuh.

Menurutnya, inisiatif tambahan sekatan eksport bekalan ikan tempatan diharapkan dapat memastikan harga ikan stabil selain usaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani mengimport tambahan bekalan ikan dari luar negara sebanyak 20 peratus.

"Mengenai nasib para nelayan di negara ini susulan ancaman ribut tropika Pabuk, kerajaan sudah mengambil inisiatif menyalurkan elaun sara hidup kepada golongan itu bagi meringankan beban mereka setelah sukar turun ke laut.

"Pengumuman elaun itu akan diumumkan menteri berkaitan dalam masa terdekat," katanya.

Muhammad Faiz turut menasihati golongan nelayan tidak menjadikan alasan musim tengkujuh untuk tidak turun mencari rezeki kerana bukan semua hari pada musim itu, nelayan akan berhadapan rintangan angin kuat.

Menurutnya, dari segi pendaratan ikan, hasil tangkapan ikan sebenarnya masih banyak.

"Jadi jangan bagi alasan musim tengkujuh tiada ikan, itu tidak betul.

"Saya juga berharap peniaga ikan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ikan sesuka hati, sebaliknya sama-sama membantu rakyat dalam memastikan kos sara hidup tidak membebankan mereka," katanya.