'Mujur anak, rakan sempat selamatkan diri'

Keadaan rumah mangsa yang rosak selepas kebakaran.
A
A

SEREMBAN - "Mujur anak dan rakannya sempat menyelamatkan diri sebaik terhidu bau hangit sebelum api merebak," kata Asihar Idris, 46, yang lega tiada mangsa terkorban apabila rumahnya di Rumah Pangsa Garden Avenue terbakar pagi semalam.

Asihar berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, seorang daripada lima anaknya berada di rumah bersama seorang rakannya manakala dia bersama isteri serta empat anak yang lain tiada di rumah.

"Akibat kebakaran itu, banyak barang dalam rumah musnah dan tidak boleh digunakan lagi.

"Malah peti sejuk beku yang baru dua minggu saya belikan untuk isteri turut rosak," katanya selepas menerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon di rumahnya di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil.

Nicole menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.
Nicole menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Dalam pada itu, Asihar berkata, isterinya yang menjalankan perniagaan membuat makanan sejuk beku seperti karipap dan donat tidak dapat meneruskan perniagaannya ketika ini kerana peti sejuk beku yang baru dibeli dua minggu lalu turut musnah dalam kebakaran.

Malah, dia sekeluarga juga terpaksa menumpang tinggal di rumah rakannya di Seremban 2 sementara menunggu rumah mereka dibaik pulih.

Sementara itu, Nicole berkata, JKM sudah menyerahkan bantuan kelengkapan asas seperti tikar, kain batik, kain pelikat, selimut, tuala, dan kit kebersihan semalam.

"Hari ini pihak kami menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 melalui Bantuan Segera Bencana Alam (BSBA) selain akan memberikan bantuan untuk ganti rugi alatan rumah serta peralatan persekolahan anak mangsa melalui Bantuan Pemulihan," katanya.

Terdahulu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, bomba berjaya tiba di lokasi dan segera mengawal kebakaran di bahagian dapur rumah itu daripada merebak ke ruang lain serta unit bersebelahan.

Beliau berkata, api dapat dipadamkan sepenuhnya 10 minit dan kediaman itu musnah 30 peratus.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.