Jaip pamer senarai sekolah agama, tahfiz dan pondok berdaftar

Syed Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian peserta yang mengikuti Seminar Pencegahan Jenayah Akidah Syariah ‘Sesat Dalam Cahaya’ Peringkat Negeri Pahang 2019 di Yayasan Pahang hari ini.
Syed Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian peserta yang mengikuti Seminar Pencegahan Jenayah Akidah Syariah ‘Sesat Dalam Cahaya’ Peringkat Negeri Pahang 2019 di Yayasan Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Senarai semua sekolah agama, tahfiz dan pondok yang berdaftar di negeri ini akan dipamerkan di setiap Pejabat Agama Islam Pahang (Jaip) seluruh daerah dalam masa terdekat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, langkah itu dilakukan kerajaan negeri bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan sekiranya mahu menghantar anak mereka mengikuti pengajian ke sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini.

Menurutnya, ini bermaksud nama-nama sekolah, tahfiz dan pondok yang telah diperakui oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sahaja akan dipamerkan.

“Kita akan minta pejabat agama dan jabatan agama untuk meletakkan senarai sekolah-sekolah pondok yang diperakui oleh Muip di pejabat masing-masing.

"Perkara ini perlu dilakukan bagi memastikan orang ramai peka dan tidak menghantar anak mereka ke sekolah agama, tahfiz dan pondok yang tiada perakuan daripada pihak Muip,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Akidah Syariah ‘Sesat Dalam Cahaya’ Peringkat Negeri Pahang 2019 di Yayasan Pahang hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Ab. Razak Abu Musa Saari, Timbalan Pengarah Jaip, Zakaria Mohamad dan Imam Besar Masjid Negeri Sembilan, Dr Muhammad Yusry Mazlan.

Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan kematian seorang murid sebuah pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang,Mohammad Aimin Nurul Amin 7, yang disahkan meninggal dunia dipercayai akibat dipukul rakannya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa meninggal dunia kira-kira jam 1.20 tengah hari pada Khamis semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di Temerloh.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengambil iktibar terhadap kejadian itu dan akan lebih bertegas dalam hal ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya memilih sekolah agama yang dibina oleh kerajaan negeri sebelum menghantar anak mereka untuk menyambung pelajaran.

“Setakat ini, kita sudah ada 18 buah sekolah agama. Sekolah ini diwar-warkan kononnya tidak muat...bukan tidak muat tetapi orang luar dari Pahang yang datang masuk, orang Pahang tak ambil peluang ini.

“Jadi kita nasihatkan rakyat negeri ini supaya bila tawaran untuk masuk ke sekolah agama itu dibuka, mereka perlu memohon,” katanya.

Syed Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian peserta yang mengikuti Seminar Pencegahan Jenayah Akidah Syariah ‘Sesat Dalam Cahaya’ Peringkat Negeri Pahang 2019 di Yayasan Pahang hari ini.
Syed Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian peserta yang mengikuti Seminar Pencegahan Jenayah Akidah Syariah ‘Sesat Dalam Cahaya’ Peringkat Negeri Pahang 2019 di Yayasan Pahang hari ini.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil kepada sekolah agama yang tidak berdaftar sehingga 31 Disember ini, beliau berkata, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah bagi memastikan semua sekolah terbabit berdaftar.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak mengetahui jika masih ada sekolah yang tidak memohon pendaftaran kerana kebanyakan sekolah dibina di dalam kebun dan sebagainya.

“Kalau kita tahu (sekolah tidak berdaftar), kita akan pergi jumpa bagi nasihat dan kaunseling supaya dia daftar. Kalau dia (pengusaha) tidak berminat kita akan buat penguatkuasaan, panggil mereka.

"Kalau masih berdegil, pihak Muip akan kuatkuasakan untuk perintah tutup,” katanya.