PBB bantu pastikan pilihan raya Palestin dapat diadakan

No Image Caption
A
A
A

GAZA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memainkan peranan penting untuk memastikan pilihan raya Palestin dapat diadakan dengan lancar, lapor agensi berita Xinhua.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Timur Tengah Nickolay Mladenov berkata demikian semasa bertemu dengan ketua Hamas Ismail Haniyeh dan pegawai kanan lain di Gaza, memetik kenyataan Hamas pada Isnin.

"Adalah penting mencapai persetujuan dalam semua langkah yang akan diambil untuk memastikan pilihan raya berjaya dilaksanakan dengan telus," kata Mladenov.

Pilihan raya itu akan menjadi pencetus kepada pelan tindakan yang adil untuk menamatkan kemelut politik dan perpecahan yang telah berlarutan sejak 2007," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Mladenov dan Haniyeh turut bersepakat untuk bekerjasama memastikan pilihan raya itu kelak berjalan lancar.

Kali terakhir pilihan raya parlimen diadakan di wilayah Palestin ialah pada Januari 2006 apabila Hamas menyingkirkan Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas dan memenangi majoriti dalam Majlis Legislatif Palestin (PLC).

Bagaimanapun, dunia enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: