Malaysia juara kejohanan hoki Piala Tuanku Zara

Pemain Malaysia Safiqah Mat Isa (baris kedua tengah) meraikan kejayaan dengan menjulang Piala Tuanku Zara bersama rakan sepasukan selepas berjaya menumpaskan Uzbekistan pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Dalam Dewan Wanita di Dewan Jubli Kuala Kangsar, semalam. - Foto Bernama

A
A
A

PASUKAN Malaysia muncul juara edisi pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara selepas menundukkan Uzbekistan 3-0 pada perlawanan akhir di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar, semalam.

Skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nur Aisyah Yaacob pada minit ke-25.

Selang lima minit kemudian, Nur Aisyah sekali lagi meletakkan Malaysia di hadapan apabila mudah menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diberikan pengadil.

Uzbekistan di bawah kendalian Liliya Mutalapova cuba bangkit untuk merapatkan jurang gol namun benteng pertahanan negara sukar ditembusi, malah terus mengukuhkan kedudukan selepas Qasidah Najwa Muhammad Halimi berjaya menjaringkan satu lagi gol buat Malaysia.

Kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan. Terdahulu, pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Taiwan Taipei mudah menewaskan Filipina 4-0.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (depan tiga dari kiri) berkenan menyampaikan Piala Tuanku Zara kepada ketua pasukan negara Julaini Din (depan, tengah) pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Dalam Dewan Wanita Antarabangsa di Dewan Jubli Kuala Kangsar, semalam.- Foto Bernama

Dalam pada itu, Muhammad Dharmaraj berkata, kemenangan sulung kejohanan itu dianggap sebagai tonik tambahan kepada skuad Malaysian Tigress menjelang Sukan Sea di Filipina, yang akan bermula hujung bulan ini.

"Kami menggunakan kejohanan ini sebagai landasan persiapan, pada masa sama kami masih ada lagi 12 pemain negara yang menyertai perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan nanti kami akan cuba bentuk pasukan yang bagus.

Artikel Berkaitan:

"Kejohanan ini amat bagus untuk kita memandangkan Uzbekistan menghantar pasukan negara mereka, manakala pasukan ini bukan pasukan 100 peratus yang akan bermain di Sukan SEA nanti," katanya.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang berupa piala dan medal.

Kejohanan selama empat hari bermula 31 Oktober lalu disertai Uzbekistan, Nepal, Taiwan, Filipina dan Malaysia. - Bernama