Novel Thriller Implisit bakal diterbitkan di pesta buku 2020

A
A
A

SHAH ALAM - Novel Thriller berjudul Implisit karya Nusa Yusof yang menjuarai Pertandingan Penulisan Novel Thriller 2019 bakal diterbitkan sempena pesta buku tahun depan.

Penolong Pengurus Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Muhammad Asyraf Yahya berkata, selain berpeluang menerbitkan novel berkenaan penulis juga berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000.

“Pertandingan ini adalah julung kali diadakan dan mendapat sambutan luar biasa. Seramai 190 peserta dari seluruh negara menyertai pertandingan ini dan semuanya mencipta karya hebat serta menepati kehendak juri,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, panel yang mengadili karya peserta adalah editorial berpengalaman daripada Grup Buku Karangkraf.

Muhammad Asyraf berkata, tujuan utama pertandingan untuk mencungkil bakat pembaca dan idea mengadakan pertandingan membuahkan hasil apabila berjaya mencari penulis novel thriller yang berbakat.

Hadiah wang tunai dan sijil penyertaan kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin sempena Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf yang berlangsung sehingga hari ini.

Untuk rekod, pertandingan Penulisan Novel Thriller 2019 berlangsung sejak Februari sehingga Jun lalu adalah anjuran Buku Prima.

Selain juara yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, tempat kedua RM700 dan ketiga berjumlah RM500 dan sijil penyertaan.

Artikel Berkaitan: