Faridah ganti calon utama GTSM yang diserang jantung

Kamarudin (tengah) bersama Faridah ketika ditemui sejurus proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian hari ini.
Kamarudin (tengah) bersama Faridah ketika ditemui sejurus proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43, mendedahkan dirinya sebagai calon yang akan membawa suara dan mewakili Gabungan Teksi Malaysia (GTSM).

Perkara itu sekali gus menjelaskan tanda tanya mengenai calon yang diumumkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, semalam, Datuk Shamsubahrin Ismail, tidak kelihatan sehingga tempoh penamaan selesai.

Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain berkata, Faridah merupakan calon kedua dipilih pihaknya dan ia baharu sahaja ditentukan pada malam sebelum penamaan calon berikutan calon diumumkan bakal bertanding sebelum ini tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik.

“Untuk makluman, perkara ini ditentukan dalam keadaan yang singkat sebab calon utama kami tiba-tiba diserang sakit jantung dan kini sedang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Beliau kena (diserang sakit jantung) betul-betul jam 1 pagi tadi sebelum nak bertolak ke Tanjung Piai untuk penamaan. Kami terus dapatkan Faridah dan minta beliau bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Kamarudin berkata, pihaknya juga sepakat memilih Faridah kerana calon berkenaan juga merupakan anak kelahiran Johor selain sudah berpindah ke Tanjung Piai.

“Punca mengapa saya sendiri tidak bertanding ialah ini bukan kawasan saya. Saya tidak dikenali dan tahu mengenainya. Jadi Faridah adalah calon paling tepat dan faham apa yang kami mahu suarakan.

Artikel Berkaitan:

“Objektif utama kami adalah untuk pastikan suara golongan pendapatan rendah (B40) seperti kami didengari selepas dua pemerintahan negara gagal,” katanya.

Sementara itu, Faridah berkata, pihaknya meletakkan seluruh kepercayaan kepada pengundi di Tanjung Piai untuk memilih siapa yang layak dan boleh menjadi suara lantang kepada mereka.

“Kami akan berusaha, walaupun kita tahu peluang mendapat kemenangan adalah tipis, kita lakukan kerana ini adalah ikhtiar kami untuk menjadi suara kebangkitan bagi rakyat yang tidak bernasib baik,” katanya.

Sebelum ini, Kamarudin memaklumkan, GTSM akan menghantar wakilnya, iaitu Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail sebagai calon bebas yang akan bertanding.

ARTIKEL BERKATAN Faridah Aryani mahu perjuangkan nasib rakyat ditindas