39 mayat dalam lori: Mangsa terpedaya 'pakej VIP'

Ibu Van Tiep menunjukkan gambar anaknya yang dipercayai menjadi mangsa 'pakej VIP' ke UK.
A
A

HANOI - Setiap migran dari Vietnam hanya perlu membayar AS$50,000 (RM208,475) seorang untuk mendapatkan 'pakej VIP' ke Britain berserta tiket penerbangan, pasport palsu dan khidmat peguam.

Pakej tersebut ditawarkan sindiket pemerdagangan manusia yang menabur janji manis kepada golongan tersebut yang terdesak mahu ke United Kingdom (UK) kononnya melalui jalan lebih selamat.

Butiran tentang 'pakej VIP' itu akhirnya terbongkar susulan penemuan 39 mayat termasuk beberapa rakyat Vietnam di dalam peti sejuk sebuah trak di Britain pada bulan lalu.

Tawaran pakej tersebut biasanya diberikan kepada mereka yang mahu jalan mudah untuk memasuki ke Britain melalui beberapa negara Eropah seperti Perancis, Jerman atau Sepanyol sebelum ke destinasi akhir di UK.

"Sindiket itu sangat licik dan berjaya memperdaya mangsa dengan proses mereka sepanjang perjalanan ke Britain yang kononnya sistematik," kata jurucakap kumpulan yang membantu usaha mencari migran Vietnam yang hilang di UK, Locate International, Chung Pham.

Sementara itu, keluarga salah seorang mangsa, Hoang Van Tiep, 18, percaya, dia adalah antara 39 yang ditemukan maut dalam trak tersebut.

"Van Tiep dijanjikan dengan laluan VIP tetapi ahli sindiket tersebut berbohong kepada kami, malah dia turut menghilangkan diri selepas tiada lagi sebarang khabar daripada anak saya," kata ibunya di wilayah Nghe An.

Difahamkan, kumpulan mayat migran yang ditemukan di belakang trak dari Belgium itu dipercayai bercampur penumpang biasa dan 'VIP'. - AFP